SHAH ALAM, 22 Ogos (Bernama) -- Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) terus menerajui usaha memperkasakan pesawah tempatan dengan teknologi terkini menerusi Projek Rakan Tani, bagi menjamin kemampanan sektor pertanian negara.
Dalam kenyataan hari ini, BERNAS memaklumkan projek tersebut menggunakan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) berasaskan WhatsApp, direka khusus untuk membimbing pesawah melalui setiap peringkat kitaran penanaman.
“Sebagai peneraju industri beras negara, BERNAS mempelopori integrasi AI dalam pertanian dengan memastikan teknologi ini dimulakan di akar umbi bersama pesawah.
“Dengan rangkaian pesawah di seluruh negara serta pengalaman berdekad dalam penanaman padi, BERNAS memastikan Rakan Tani bukan sahaja canggih, malah mesra pengguna, relevan dengan budaya setempat dan mudah diakses,” menurut kenyataan itu.
Projek ini dibangunkan melalui kerjasama strategik dengan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO), Kementerian Digital, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta The Hive’s Global AI Village.
Menurut kenyataan itu, NAIO menyediakan hala tuju dasar strategik selaras dengan pendekatan Malaysia MADANI, BERNAS menyumbang kepakaran serta rangkaian pesawah, manakala The Hive’s Global AI Village membekalkan keupayaan kejuruteraan AI yang canggih.
Fasa perintis Rakan Tani kini diuji di bawah inisiatif SMART Sawah Berskala Besar (SMART SBB) BERNAS, yang menghubungkan pesawah dengan pegawai lapangan melalui kerjasama rentas sektor.
“Boleh digunakan melalui WhatsApp dalam Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris dan (akan datang) bahasa tempatan, AI co-pilot ini berfungsi sebagai penasihat pakar pertanian dalam poket setiap pesawah.
“Rakan Tani memberi panduan masa nyata mengenai amalan terbaik berpandukan Jadual Kerja Ladang (JKL) BERNAS, termasuk pengurusan kesuburan tanah dan tanaman, kawalan perosak, penyakit serta rumpai. Nasihat disesuaikan dengan lokasi, jenis padi dan umur tanaman,” katanya.
BERNAS turut memaklumkan teknologi itu akan dipertingkatkan berdasarkan maklum balas pesawah agar benar-benar memenuhi keperluan di lapangan.
Langkah itu juga membuka jalan untuk peluasan penggunaan di seluruh negara dengan matlamat membina sektor pertanian yang berdaya tahan dan dipacu teknologi, sekali gus menjamin kelangsungan hidup pesawah serta memperkukuh keterjaminan makanan negara.
Sementara itu, Ketua NAIO Shamsul Izhan Abdul Majid berkata kerjasama ini selaras dengan visi AI negara yang menekankan penggunaan teknologi bagi memperkasa rakyat, khususnya dalam sektor agromakanan.
“Dengan membawa AI terus ke hujung jari pesawah, kita bukan sahaja memperkukuh keselamatan makanan, malah meningkatkan produktiviti serta taraf hidup golongan pesawah yang menjadi tulang belakang negara. Inilah cara kita membina masa depan berdaya tahan dan berteknologi tinggi untuk semua rakyat Malaysia,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial