Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penahanan Perisik Tentera: MINDEF Diarah Teliti Aspek Keselamatan Negara - Fahmi

22/08/2025 04:42 PM

PUTRAJAYA, 22 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) meneliti semula aspek keselamatan negara susulan penahanan anggota Organisasi Perisikan Pertahanan Malaysia (MDIO) di selatan tanah air, baru-baru ini.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI, berkata perkara itu dibangkitkan Perdana Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, yang turut menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan negara berikutan tangkapan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Difahamkan dua daripada mereka yang ditahan ialah pegawai MDIO. Perdana Menteri menyuarakan kebimbangan terhadap implikasi keselamatan yang mungkin timbul dan meminta MINDEF membentangkan laporan penuh kepada Jemaah Menteri selepas siasatan SPRM,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Pada 13 Ogos lalu, SPRM menahan 10 individu termasuk tiga pegawai dan dua bekas pegawai kanan tentera dipercayai terlibat dalam sindiket penyeludupan di selatan tanah air.

Fahmi berkata Perdana Menteri turut menegaskan siasatan SPRM mesti diteruskan tanpa sebarang gangguan, sebelum Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan dalaman.

Dalam perkembangan lain, Fahmi memaklumkan Perdana Menteri telah meminta Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memberi laporan dan status terkini siasatan insiden pesawat pejuang F/A-18D Hornet milik Tentera Udara Diraja Malaysia yang terhempas di Pangkalan Udara Kuantan malam tadi.

Ad Banner

"Menteri Pertahanan telah memaklumkan, Alhamdulillah, kedua-dua juruterbang selamat dan siasatan sedang dijalankan. Hasil siasatan akan dibentangkan semula ke Jemaah Menteri sebaik selesai," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan