Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KKM Perkenal Saringan Digital Fisio Di Program MADANI Rakyat Negeri Sembilan

22/08/2025 05:52 PM

NILAI, 22 Ogos (Bernama) -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi Unit Fisioterapi Kesihatan Primer tampil proaktif memperkasakan kesedaran kesihatan dengan menawarkan saringan Digital Fisio kepada pengunjung Program MADANI Rakyat (PMR) Negeri Sembilan di Dataran Nilai, di sini.

Fisioterapi Kesihatan Primer Nur Ashila Othman, 41, berkata saringan tersebut dilengkapi intervensi serta maklum balas kesihatan secara serta-merta melalui penggunaan peralatan dengan teknologi terkini di rerurai KKM di sini.

Beliau berkata antara peralatan digunakan termasuk FiBod bagi menyaring keseimbangan badan yang memberikan penilaian kesihatan serta intervensi awal berdasarkan keputusan ujian dan Digital Podoscope iaitu alat khas untuk menganalisis postur tapak kaki.

"Alatan ini dapat mengesan jenis lengkungan tapak kaki sama ada normal, tinggi ataupun rata. Hasil saringan ini membantu dalam pemilihan kasut yang betul dan senaman sesuai melalui e-book khas yang disediakan kepada pengunjung," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Nur Ashila berkata turut disediakan alatan FitMe untuk pengunjung yang mempunyai kelemahan otot seperti pesakit strok dengan mengesan tangan atau jari yang lemah dan membantu merangka program senaman pemulihan bersesuaian.

Beliau berkata penglibatan pertama kali di PMR itu dapat memberi peluang kepada orang ramai mengenali peranan fisioterapi dalam penjagaan kesihatan serta mendapat saringan awal secara digital.

Ad Banner

Program MADANI Rakyat Negeri Sembilan membuka tirainya hari ini dengan pelbagai pengisian menarik bertemakan pendigitalan, dalam usaha mendekatkan rakyat dengan agensi kerajaan.

Bersesuaian dengan temanya “Digital Merentasi Generasi, Memperkasa Komuniti”, PMR Negeri Sembilan diterajui Kementerian Digital dengan kerjasama Pejabat Perdana Menter melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi selaku sekretariat induk serta Kerajaan Negeri Sembilan sebagai tuan rumah.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan