Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

BMC Edar 300 Jalur Gemilang, Semarak Bulan Kebangsaan

23/08/2025 04:22 PM

KUALA LUMPUR, 23 Ogos (Bernama) -- Kelab Motosikal Bernama (BMC) mengedarkan 300 Jalur Gemilang kepada pengguna jalan raya menerusi Kembara Jalur Gemilang yang bermula di Plaza Tol Gombak seawal 7.30 pagi hari ini, sebagai sebahagian daripada usaha menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan.

Program yang disertai 20 penunggang motosikal pelbagai kapasiti enjin itu menyaksikan penyertaan aktif warga dan bekas petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dalam memacu semangat patriotisme peserta.

Konvoi tersebut merentasi perjalanan sejauh 200 kilometer meliputi laluan Gombak, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Fraser Hill sebelum berakhir di Kuala Kubu Bharu, Selangor. 

Antara lokasi pengedaran bendera termasuk di dua stesen minyak di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak serta gerai makanan Lemang To'ki di Bentong yang menjadi tumpuan komuniti penunggang motosikal.

Presiden BMC Amrizan Madian berkata konvoi itu menjadi platform utama untuk membangkitkan dan menyemarakkan semangat rasa cinta kepada negara dalam kalangan rakyat dengan cara mengibarkan Jalur Gemilang .

“Setiap bendera yang diagihkan bukan sekadar simbolik tetapi juga usaha menanamkan rasa bangga dan cinta yang mendalam terhadap negara selain memperkukuhkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai lapisan,” katanya.

Ad Banner

Sejak penubuhannya pada 2023, BMC yang sebelum ini dikenali sebagai Bernama Bikers Club telah menganjurkan beberapa program kembara, termasuk lawatan ke Makam Mat Kilau di Jerantut dan sambutan ulang tahun kelab di Janda Baik serta jelajah ke Kota Bharu, Kelantan, Kuantan dan sekitar Selangor.

BMC yang ditubuhkan secara rasmi pada 31 Ogos 2023 kini mempunyai keahlian seramai 80 orang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan