Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Sabah Mahu Pulau Banggi Dibangunkan Dalam Pelbagai Sektor - Hajiji

23/08/2025 08:00 PM

PULAU BANGGI (KUDAT), 23 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Sabah mahu membangunkan Pulau Banggi dalam pelbagai sektor, khususnya pelancongan dan ekonomi selain pembangunan lain.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata bagi mencapai usaha itu, kerajaan negeri merancang merapatkan lagi hubungan dengan negara jiran melalui perdagangan barter di bawah Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA).

"Kalau ada perdagangan barter dengan negara jiran yang tidak jauh dari sini, ia boleh merancakkan lagi aktiviti ekonomi kita. Jadi potensi Pulau Banggi ini sangat tinggi, inilah pulau istimewa di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas Majlis Pecah Tanah Projek Skim Penambahan Bekalan Air Pulau Banggi bernilai hampir RM62 juta di Dewan Terbuka Kobong di sini hari ini.

Sejajar perancangan itu, Hajiji berkata kerajaan negeri akan mempertimbangkan permintaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banggi Datuk Mohammad Mohamarin untuk menaik taraf status daerah kecil Banggi kepada daerah penuh.

Pada majlis itu, Hajiji turut meluluskan pembinaan sebuah dewan di pulau itu dengan peruntukan RM6 juta serta dewan kebudayaan masyarakat Bonggi bernilai RM1 juta.

Ad Banner

Sementara itu, beliau berkata keupayaan kerajaan negeri memulihkan ekonomi yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 membuktikan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berfungsi dengan baik.

Hajiji berkata melalui tiga sektor iaitu perindustrian, pelancongan dan pertanian, kerajaan GRS berjaya memulihkan ekonomi negeri hingga merekodkan hasil hampir RM7 bilion berbanding RM4 bilion beberapa tahun sebelumnya.

Katanya, kerajaan pimpinannya berusaha melakukan yang terbaik sejak lima tahun lalu dengan merancang langkah pemulihan ekonomi secara berkesan dalam tiga sektor utama berkenaan.

"Walaupun tahun pertama kita dilanda COVID-19, kita tetap memperkenalkan hala tuju pembangunan ekonomi Sabah untuk jangka panjang serta merancang dengan teliti apa yang terbaik untuk negeri ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan