Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sate Kajang Diisytihar Makanan Warisan Negeri Selangor

23/08/2025 08:18 PM

KAJANG, 23 Ogos (Bernama) -- Sate Kajang hari ini diisytihar sebagai Makanan Warisan Negeri Selangor antara lain sebagai usaha memastikan khazanah gastronomi itu terus dipelihara, diwarisi generasi demi generasi serta menjadi identiti kulinari kebanggaan negeri.

Majlis pengisytiharan itu disempurnakan oleh Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin sempena penganjuran Karnival 1001 Rasa Sate di sini.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Negeri Selangor Datuk Borhan Aman Shah dalam sembah ucapannya berkata Sate Kajang diwartakan sebagai objek bersejarah di bawah Enakmen Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor 2009 pada 31 Julai lepas.

"Sate Kajang merujuk kepada hidangan sate yang berasal dari Kajang sejak sekitar tahun 1870. Hidangan ini diperkenal oleh Allahyarham Tasnim Kasiban bersama adiknya Rono pada tahun 1917.

“Sejak itu, legasi ini diteruskan turun-temurun dan menjadi antara ikon gastronomi yang mengharumkan nama Kajang, Selangor dan Malaysia," katanya.

Borhan berkata bagi memastikan khazanah ini terus terpelihara, kerajaan negeri melalui Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT) telah menjalankan kajian rapi menerusi Pemetaan Budaya dan Kajian Toponim yang mengesahkan bahawa Sate Kajang mempunyai identiti tersendiri.

Ad Banner

Ia berbeza dengan sate lain kerana potongan dagingnya lebih besar dengan berat sekitar 22 hingga 24 gram, hidangan lengkap dengan ketupat dan sayuran serta teknik membakar yang diwarisi turun-temurun.

"Ia terdiri daripada tiga elemen utama iaitu bahan berasaskan protein seperti daging atau ayam yang diperap, dicucuk pada lidi buluh, dibakar hingga sempurna masaknya dan dihidangkan bersama kuah kacang yang kaya rasa serta sambal sate yang unik," katanya.

Beliau berkata pewartaan itu juga merupakan pengiktirafan terhadap jasa para pengusaha sate terdahulu serta pengusaha generasi baharu yang komited mengekalkan keaslian rasa dan teknik penyediaan.

Karnival 1001 Rasa Sate, yang bermula semalam dan berlangsung hingga esok, turut mengetengahkan peniaga sate dan kopi setempat sekali gus membuka peluang kepada usahawan tempatan memperkenal produk mereka kepada masyarakat.

Program anjuran MPKj dengan kerjasama PADAT, Tourism Selangor dan Selangor FM itu juga memberi peluang kepada pengunjung menikmati sate percuma yang diedarkan seawal 3 petang selain pelbagai aktiviti riadah untuk keluarga serta golongan belia.

Inisiatif itu disifatkan sebagai usaha mempromosi produk warisan tempatan sempena Tahun Melawat Selangor 2025 dan persediaan menuju Tahun Melawat Malaysia 2026 dengan mengetengahkan konsep gastro-tourism atau pelancongan berasaskan makanan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan