Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Inisiatif 1R1JG Diperluas Ke Kluster Industri, Semarakkan Sambutan Bulan Kebangsaan

23/08/2025 11:02 PM

PUTRAJAYA, 23 Ogos (Bernama) -- Inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG) kini diperluas ke kluster industri dan akan dilancarkan esok di sebuah stesen minyak di Papar, Sabah yang akan disempurnakan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali.

Pengarah Bahagian Penerbitan Dasar Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) Mohd Sabri Abdullah berkata peluasan inisiatif itu bertujuan menggalakkan penyertaan kluster industri bagi memeriahkan sambutan Bulan Kebangsaan melalui pemasangan Jalur Gemilang di premis masing-masing.

“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada KPDN (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) atas kerjasama yang diberikan.

“KPDN telah membantu dari segi penglibatan pihak industri, khususnya stesen minyak. Esok, selain di Sabah, inisiatif ini turut dilaksanakan di sebuah pasar raya di Kuala Lumpur,” katanya kepada Bernama.

Mohd Sabri berkata demikian selepas menyerahkan Jalur Gemilang kepada Penolong Pengurus Besar IOI City Mall Wilfred Wong bagi menjayakan inisiatif 1R1JG sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2025 (HKHM 2025) di sini hari ini.

Beliau berkata peluasan 1R1JG ke kluster industri diyakini dapat memperluas capaian program berkenaan serta menyemarakkan semangat patriotisme menjelang HKHM 2025.

Ad Banner

Menghargai kerjasama antara JAPEN dan IOI City Mall, Mohd Sabri menyifatkannya sebagai contoh semangat kebersamaan dalam menyemarakkan Bulan Kebangsaan.

“Hari ini kita gembira menerima sokongan padu daripada pihak industri khususnya IOI City Mall. Ia melambangkan semangat patriotik yang perlu dikongsi bersama. Mesej utama yang ingin kita sampaikan ialah kepentingan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kebanggaan rakyat Malaysia,” katanya.

Selain kluster industri, terdapat enam kluster lain di bawah inisiatif 1R1JG iaitu pendidikan, keselamatan, kesihatan, agensi kerajaan, pendidikan tinggi dan komuniti.

Sementara itu, Wong berkata pihaknya berharap kerjasama dengan JAPEN dapat diteruskan, sambil memetik pepatah “berat sama dipikul, ringan sama dijinjing” dalam usaha menyemarakkan semangat patriotisme rakyat.

Beliau berkata sebagai pusat beli-belah terkemuka dengan purata tiga juta pengunjung sebulan, IOI City Mall merupakan lokasi strategik untuk menyemai semangat patriotisme khususnya dalam kalangan generasi muda.

“Kerjasama dengan kerajaan ini adalah platform penting untuk menyatukan rakyat berbilang kaum. Usaha bersama JAPEN diyakini mampu mencapai matlamat dan objektif yang digariskan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan