MELAKA, 25 Ogos (Bernama) -- Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai bakal menerima sebuah klinik kesihatan baharu bernilai RM43.3 juta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai Datuk Siti Faizah Abdul Azis berkata klinik kesihatan jenis tiga itu dijangka beroperasi dengan pelbagai kemudahan baharu termasuk pusat rehabilitasi.
“Ia akan dibina di kawasan seluas 3.03 hektar berdekatan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Rambai dengan tender akan dibuka awal tahun depan.
“Bangunan dua tingkat fasiliti kesihatan itu juga akan dilengkapi dengan lif dan memberi manfaat kepada penduduk Sungai Rambai serta Kampung Tasik, Tangkak, Johor,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Tauliah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi ke-76 Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di sini hari ini.
Terdahulu, pada istiadat berkenaan Siti Faizah menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.
Dalam pada itu, beliau berkata DUN Sungai Rambai juga akan memiliki satu mercu tanda baharu iaitu pembinaan sebuah jeti baharu bagi menyokong aktiviti pelancongan di Sungai Kesang.
Beliau berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah memperuntukkan sebanyak RM4 juta bagi tujuan pembinaan jeti berkenaan.
“Pembinaannya akan bermula pada bulan depan dan dijangka siap dalam tempoh lapan bulan.
“Ia akan menjadi satu tarikan ekonomi dan pelancongan baharu bagi Gerbang Selatan yang diuar-uarkan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh sebelum ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial