Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Rapid KL Tawar Pas MyTourist Serendah RM15

26/08/2025 11:07 AM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Rapid KL mengumumkan promosi Pas MyTourist dengan harga lebih rendah sempena Bulan Kebangsaan sebagai sebahagian daripada kempen ‘Rapid KL Denyut Nadi Merdeka’.

Rapid KL dalam kenyataan hari ini memaklumkan bermula 22 Ogos lepas, pas berkenaan ditawarkan kepada warganegara Malaysia serendah RM15 bagi satu hari, dua hari (RM20) dan tiga hari (RM25).

Bagi bukan warganegara pula, Pas MyTourist ditawarkan pada harga RM35 bagi satu hari, dua hari (RM50) dan tiga hari (RM65).

Pas berkenaan menawarkan perjalanan tanpa had di semua rangkaian perkhidmatan Rapid KL termasuk tren, Bas Rapid Transit (BRT) Laluan Sunway, bas Rapid KL, bas pengantara MRT dan Rapid KL On-Demand di Lembah Klang. 

“Selain perjalanan tanpa had, pemegang Pas MyTourist turut menerima manfaat tambahan selama tujuh (7) hari berturut-turut daripada lebih 40 rakan strategik, termasuk potongan harga di pusat-pusat tarikan pelancong, pusat beli-belah, restoran dan kafe, dengan jumlah penjimatan bernilai sehingga RM800,” menurut kenyataan itu.

RapidKL memaklumkan inisiatif itu memberi peluang kepada orang ramai untuk menyemarakkan semangat patriotisme dengan menggunakan pengangkutan awam bagi meneroka Lembah Klang dengan mudah, sambil menikmati penjimatan hebat dan tawaran eksklusif daripada rakan strategik Pas MyTourist.

Ad Banner

Pas MyTourist boleh dibeli di kaunter Khidmat Pelanggan Rapid KL, aplikasi MyRapid PULSE atau secara dalam talian di MyRapid Shop (shop.myrapid.com.my).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan