PUTRAJAYA, 26 Ogos (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) diarahkan untuk sentiasa memantau dan melaksanakan penyenggaraan terhadap perkhidmatan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 supaya tidak berlaku gangguan teknikal yang boleh menjejaskan pergerakan penumpang.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata sejak memulakan operasi pada 1 Julai lepas, hampir dua juta penumpang telah menggunakan Aerotrain sekali gus membuktikan ia perkhidmatan penting di pintu masuk negara.
“Pergerakan penumpang antara terminal utama dengan terminal satelit begitu padat setiap hari, beribu orang menggunakan perkhidmatan itu setiap hari.
“Sudah tentu apa sahaja gangguan teknikal akan memberikan kesan kepada penumpang dan sebagai satu perkhidmatan kritikal di KLIA, yang perlu kita pastikan bahawa keandalan (Aerotrain) cukup tinggi supaya dapat memastikan pergerakan (penumpang) itu tidak terjejas,” katanya.
Pada sidang media selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Pengangkutan (MOT) di sini hari ini, Loke berkata meskipun wujud beberapa insiden teknikal melibatkan Aerotrain, perkhidmatan itu dilihat berfungsi dengan baik.
“Sistem rel kadang-kadang akan menghadapi gangguan teknikal, ia melibatkan pelbagai komponen seperti mekanikal, teknikal, kadang-kadang perisian dan sebagainya.
“Walaubagaimanapun, kita meminta MAHB memantau setiap hari dan memastikan penyenggaraan dibuat dengan baik,” katanya sambil menambah terdapat pasukan ditugaskan bagi memastikan operasi Aerotrain berada dalam keadaan baik terutama pada waktu puncak.
Loke berkata MAHB juga perlu memastikan kontraktor dalam projek Aerotrain bertanggungjawab sepenuhnya dalam isu tertentu kerana ia masih dalam tempoh liabiliti mereka.
Media sebelum ini melaporkan terdapat pihak mahukan MOT menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyiasat punca gangguan perkhidmatan Aerotrain di KLIA Terminal 1 yang didakwa mengalami gangguan sejak beroperasi semula pada 1 Julai lepas.
Perkhidmatan Aerotrain turut dihentikan sementara pada 4 Julai lepas susulan takungan air dalam terowong disebabkan hujan lebat.
Perkhidmatan tren moden tanpa pemandu itu kembali beroperasi sepenuhnya selepas melalui kerja naik taraf bernilai RM456 juta, sebagai sebahagian daripada inisiatif transformasi MAHB berjumlah RM742 juta yang bertujuan memperkukuh kedudukan KLIA sebagai hab penerbangan ulung serantau pada masa hadapan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial