Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Yayasan Terengganu Mahu Contohi MARA, Lantik Bekas Tentera Sebagai Warden Asrama

26/08/2025 02:41 PM

KUALA TERENGGANU, 26 Ogos (Bernama) -- Yayasan Terengganu (YT) bercadang melantik bekas tentera atau polis sebagai warden di semua sekolah berasrama di bawah naungannya seperti yang dilaksanakan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di dua Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Pengarah YT Ahmad Farhan Abdul Wahab berkata langkah itu untuk menghindari kejadian buli melibatkan pelajar sekolah di bawah yayasan berkenaan berulang.

“Untuk kes buli yang berlaku baru-baru ini, YT telah menubuhkan sebuah pasukan petugas diketuai pengurusan tertinggi yayasan sendiri. Pasukan ini akan membincangkan kaedah-kaedah yang akan dilaksanakan untuk sekolah-sekolah, termasuk menukar penempatan penyelia-penyelia sekolah dari semasa ke semasa.

“Kita juga akan tengok kaedah yang dilaksanakan oleh pihak MRSM yang mengambil warden dalam kalangan bekas tentera. Kita akan buat, insya-Allah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penghantaran dan Penyerahan Pendahuluan Diri Pelajar YT ke Luar Negara 2025 di sini hari ini.

Ahmad Farhan berkata demikian ketika ditanya mengenai kejadian buli melibatkan enam pelajar di sebuah sekolah menengah agama di bawah YT di Kemaman, baru-baru ini.

Beliau berkata enam pelajar yang sebelum ini telah ditahan reman, kini telah ditukarkan ke sekolah lain sementara menunggu kes berkenaan selesai di peringkat mahkamah.

Ad Banner

Ahmad Farhan berkata tindakan penukaran sekolah terhadap semua pelajar berusia 16 tahun itu dilakukan hasil perbincangan bersama ibu bapa pelajar terlibat.

Baru-baru ini dilaporkan enam pelajar sebuah sekolah menengah agama bantuan kerajaan direman bagi membantu siasatan kes pukul dan buli terhadap seorang pelajar lelaki tingkatan tiga pada Julai lepas.

Terdahulu Majlis Penghantaran dan Penyerahan Pendahuluan Diri Pelajar YT ke Luar Negara 2025 disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri Datuk Satiful Bahri Mamat.

Satiful Bahri berkata empat pelajar Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Marang berjaya melanjutkan pengajian ke Beijing Foreign Studies University, China dalam bidang ekonomi dan perniagaan di bawah Program Pinjaman Pendidikan Boleh Ubah YT.

Beliau berkata pelajar berkenaan, iaitu Ameer Sadiq Ahmad Lutfi, Shazarul Azree Jamaludin, Muhammad Harith Irfan M.Anuar dan Rabiatul Annisa Mohd Fousi yang kesemuanya berusia 18 tahun merupakan pelajar perintis di bawah Program Tahfiz Mandarin Imtiaz yang mula dilaksanakan pada 2018.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan