Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Gabungan Persatuan Pekerja Sokong RUU Pekerja GIG

26/08/2025 04:21 PM

KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Gabungan persatuan dan kesatuan sekerja yang mewakili jutaan pekerja di seluruh negara menyatakan sokongan penuh terhadap pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 semalam.

Gabungan berkenaan dalam kenyataan hari ini memaklumkan RUU itu adalah detik bersejarah dalam landskap perundangan perburuhan negara kerana buat pertama kalinya lebih 1.2 juta pekerja gig diiktiraf secara rasmi dalam undang-undang.

"Langkah ini membuka lembaran baharu dalam melindungi hak dan kebajikan pekerja, seterusnya mewujudkan ekosistem pekerjaan yang lebih adil, mampan dan inklusif," menurut kenyataan itu.

Kesatuan yang terlibat ialah Gabungan e-Hailing Malaysia, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNIMLC), Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia (PROFIMA) dan Pertubuhan Kebangsaan Jurubahasa dan Penterjemah Bahasa Isyarat Malaysia.

Gabungan itu turut menyeru semua Ahli Parlimen agar memberikan sokongan padu terhadap RUU berkenaan bagi memastikan suara pekerja gig didengar, hak mereka dilindungi dan masa depan mereka dimartabatkan dalam undang-undang perburuhan negara.

"Kami menyambut baik empat fokus utama yang menjadi teras RUU ini, iaitu definisi rasmi pekerja gig yang menghapuskan kekaburan status pekerja, jaminan pendapatan dan kadar bayaran adil, tribunal penyelesaian pertikaian dan perlindungan sosial mandatori.

Ad Banner

“Dengan penggubalan RUU ini, Malaysia bakal tampil sebagai antara 15 negara terawal di dunia yang memberikan definisi jelas kepada pekerja gig,” menurut kenyataan itu.

Gabungan persatuan dan kesatuan sekerja itu turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) atas usaha menyeluruh yang dilaksanakan melalui lebih 37 sesi libat urus bersama semua pemegang taruh termasuk pekerja gig, penyedia platform, kesatuan sekerja, agensi kerajaan dan kerajaan negeri. 

"Pendekatan inklusif ini mencerminkan semangat Malaysia MADANI yang menegakkan prinsip keadilan sosial dan keterangkuman," menurut kenyataan itu.

RUU Pekerja Gig 2025 itu dibentangkan untuk bacaan kali pertama oleh Menteri Sumber Manusia Steven Sim di Dewan Rakyat semalam.

Sementara itu, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dalam kenyataan hari ini memaklumkan RUU Pekerja Gig 2025 diyakini mampu merapatkan jurang keadilan sosial di sektor tidak formal.

Berdasarkan statistik Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (LINDUNG Kendiri) sepanjang 2024, hanya 304,625 atau 25.4 peratus pekerja gig dikesan aktif mencarum dan mendapat perlindungan keselamatan sosial.

Menurut PERKESO, walaupun pekerja gig hanya sebahagian kecil daripada jumlah pencarum, namun mereka mewakili 28.6 peratus daripada keseluruhan jumlah penyaluran faedah menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) bagi tempoh berkenaan.

“Angka ini mencerminkan keperluan mendesak terhadap perlindungan sosial yang amat kritikal bagi komuniti penggiat gig.

“Justeru, pembentangan RUU Pekerja Gig 2025 adalah langkah bersejarah yang sejajar agenda penjenamaan LINDUNG meliputi hak, kebajikan dan maruah mereka sebagai antara penggerak utama ekonomi digital negara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan