Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

42,000 Pelajar Nikmati Tuisyen Digital Percuma Melalui NADI

26/08/2025 03:06 PM

KUALA LUMPUR, 26, 0gos (Bernama) -- Sebanyak 42,000 pelajar sekolah rendah dan menengah di seluruh negara telah menikmati manfaat tuisyen digital percuma yang ditawarkan melalui Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) sejak ia diperkenalkan September lepas.

Ketua Pejabat NADI Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Mohd Arif Adenan berkata program di bawah inisiatif Digital Learning dan juga e-Kelas itu banyak membantu pelajar khususnya kumpulan B40 mendapatkan akses kelas tambahan percuma yang sebelum ini sukar diperoleh.

“Untuk melahirkan masyarakat yang inovatif, maka pendidikan adalah satu elemen yang kita tidak boleh kesampingkan daripada pihak sekolah sendiri hingga ke universiti dan sebagainya. Jadi, apa yang dilaksanakan NADI, kita telah adakan  program tuisyen percuma.

“Apabila tuisyen dibuat secara dalam talian, seorang guru boleh mengajar ramai pelajar pada satu masa, serentak di 1,099 pusat NADI. Ini dapat dilaksanakan kerana NADI mempunyai capaian internet yang stabil,” katanya dalam program Ruang Bicara yang disiarkan di saluran Bernama TV malam tadi.

Beliau berkata pusat NADI, yang kini berjumlah 1,099 di seluruh negara, telah berkembang peranannya daripada sekadar merapatkan jurang digital antara penduduk bandar dan luar bandar kepada platform pemerkasaan komuniti yang merangkumi perkhidmatan kerajaan, program keusahawanan, kesihatan serta pembelajaran sepanjang hayat.

Mengulas lanjut mengenai keberkesanan pusat itu sebagai pemangkin ekonomi, Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali berkata kewujudan NADI banyak membantu usahawan luar bandar meningkatkan pengetahuan pemasaran sekali gus melonjakkan jualan mereka.

Ad Banner

“Kita ada program NADI Usahawan, yang terbukti berjaya apabila ada peserta mencatatkan peningkatan jualan hingga 70 ke 80 peratus melalui promosi dalam talian.

“Capaian internet di NADI antara 100 megabit per saat hingga satu gigabit per saat, iaitu jauh lebih laju daripada keperluan asas. Jadi, mereka tidak menghadapi sebarang masalah kelembapan akses,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai Projek Inklusif Digital NADI Malaysia yang muncul johan Hadiah Sidang Kemuncak Masyarakat Maklumat Sedunia (WSIS) 2025 menerusi Inisiatif NADI Pulau Banggi pada Julai lepas, Mohd Arif berkata ia membuktikan kerajaan tidak meminggirkan rakyat.

“Kerajaan tidak akan meninggalkan seorang pun rakyat, di mana sahaja mereka berada. Kita pastikan setiap rakyat Malaysia menikmati kemudahan sama seperti yang dinikmati di bandar.

“NADI bukan sahaja berada di Pulau Banggi, malah melalui inisiatif Satu DUN Satu NADI, ia turut diwujudkan di pulau-pulau terpencil seperti Pulau Tuba, Pulau Tioman, Pulau Pangkor, Pulau Aman, serta di kampung Orang Asli bagi memastikan mereka juga mendapat akses internet dan pelbagai program melalui NADI,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan