PUTRAJAYA, 26 Ogos (Bernama) -- Sempena peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN, Forum Pekerjaan Hijau ASEAN (AGJF) 2025 akan berlangsung di Putrajaya pada 27 dan 28 Ogos sebagai platform berprofil tinggi bagi mengetengahkan peluang pertumbuhan hijau dan transformasi tenaga kerja di rantau ini.
Forum berkenaan dianjurkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dengan sokongan Sekretariat ASEAN (ASEC) serta Kerajaan Australia melalui Inisiatif Aus4ASEAN Futures.
KESUMA dalam kenyataan hari ini memaklumkan AGJF 2025 akan menghimpunkan pegawai tinggi buruh, pembuat dasar, pemimpin industri, penyedia pendidikan dan rakan sosial untuk membincangkan tema ‘AI, Pendigitalan dan Pekerjaan Hijau: Pembangunan Kemahiran dan Bakat Masa Depan ASEAN’.
“Bertitik tolak daripada kejayaan forum sulung AGJF pada April 2024 di Kuala Lumpur, Forum 2025 akan memberi tumpuan daripada perancangan visi kepada perancangan pelaksanaan.
“Perbincangan akan menekankan bidang khusus dalam rantaian nilai yang mempunyai potensi peluang hijau, menggunakan kajian kes dunia sebenar bagi memperkukuh dialog dasar serta menonjolkan perkongsian yang boleh diperluaskan di seluruh rantau ini, sekali gus mengukuhkan komitmen bersama ASEAN terhadap pertumbuhan ekonomi inklusif dan mampan,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan itu memaklumkan AGJF 2025 akan menjadi platform berprofil tinggi untuk meneroka peralihan kembar pendigitalan dan penyahkarbonan serta kesannya terhadap pekerjaan dan kemahiran.
Ia juga menjadi wadah untuk menampilkan penyelesaian berskala besar serta strategi bagi memperluaskan kerjasama inovatif di rantau ini dan memudahkan dialog bagi menyelaraskan dasar pembangunan kemahiran dengan keperluan industri.
KESUMA memaklumkan antara sesi utama bengkel dua hari itu ialah Sesi Pleno Pemimpin Buruh, dialog peringkat tinggi serta sesi soal jawab bersama pembuat dasar.
AGJF 2025 turut menampilkan panel pemikir mengenai tumpuan peralihan hijau dan adil, strategi korporat dalam menyesuaikan diri dengan peralihan hijau, portfolio aset hijau, pembiayaan hijau termasuk mikro pembiayaan hijau, serta peluang hijau dalam rantaian nilai sektor utama khususnya pertanian, pengangkutan, tenaga dan rantaian bekalan.
“Sesi panel itu juga menjadi ruang untuk membincangkan risiko yang dikaitkan dengan transformasi hijau terhadap komuniti terpinggir dan bagaimana pelbagai pihak dalam masyarakat boleh berganding bahu menyokong pertumbuhan mampan yang inklusif,” menurut kementerian itu.
Sebagai tambahan, sesi jaringan akan diadakan untuk menteri, pemimpin industri dan penggiat masyarakat sivil bagi bertukar pandangan serta membincangkan keutamaan serantau.
“Ia membolehkan jaringan rentas sektor, menggalakkan pembinaan perkongsian serta menyokong pembentukan visi kolektif ASEAN ke arah tenaga kerja hijau dan inklusif,” tambah KESUMA.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial