Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

e-SPMM Platform Digital Bersepadu Tingkat Profesionalisme Pengurusan Masjid - MAIK

26/08/2025 04:39 PM

KOTA BHARU, 26 Ogos (Bernama) -- Sistem e-SPMM (Sistem Penarafan Masjid Malaysia) merupakan platform digital bersepadu untuk menilai serta memantau prestasi masjid secara telus, sistematik dan boleh diakses oleh semua pihak berkepentingan bagi tujuan pemantauan, perancangan serta penambahbaikan berterusan.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata sistem itu diyakini akan meningkatkan tahap profesionalisme dan memperkukuh akauntabiliti pengurusan masjid.

Beliau berkata Kelantan berbangga menjadi negeri pertama yang membangunkan sistem ini sebagai platform penilaian kualiti meliputi masjid negeri, masjid bandar, masjid jajahan mahupun masjid mukim.

"Sistem ini juga boleh diakses secara umum dengan memaparkan penarafan bintang bagi keseluruhan masjid di negeri Kelantan," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Kolokium Penarafan Masjid 2025 di sini hari ini.

Tengku Mohamad Rizam berkata program penarafan masjid yang bermula pada 2023 telah dilaksanakan secara dwitahunan dan bertujuan untuk menilai keberkesanan objektif penubuhan masjid, mengukur tahap penglibatan masyarakat, menilai keberkesanan pelaksanaan program dan menetapkan penanda aras bagi peningkatan kualiti pengurusan.

"Melalui pendekatan ini, masjid bukan sahaja diimarahkan dari sudut ibadah bahkan turut menjadi pusat pembangunan insan, sosial, ekonomi dan perpaduan masyarakat Islam.

Ad Banner

"Penarafan masjid bukanlah berakhir hanya dengan pemberian gred bintang semata-mata. Inisiatif ini menjadi bukti komitmen padu pihak MAIK dalam memastikan seluruh masjid di negeri ini dapat ditingkatkan kualiti dan peranannya secara berperingkat dan berterusan," katanya.

Pada majlis berkenaan, sebanyak 29 buah masjid mencapai penarafan lima bintang pada 2025 berbanding lima buah masjid pada 2023, manakala 86 buah masjid pula memperoleh penarafan empat bintang pada tahun ini.

Sebagai pengiktirafan, masjid yang mencapai penarafan lima bintang menerima sijil penarafan bintang serta insentif sebanyak RM10,000. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan