IPOH, 26 Ogos (Bernama) -- Semangat cinta kepada negara sempena menyambut Bulan Kebangsaan terus bersemarak apabila kira-kira 2,000 peserta menyertai perarakan sempena Program MERDEKA@PUO 2025 anjuran Politeknik Ungku Omar (PUO) di sini hari ini.
Perarakan yang bermula pada 8.30 pagi dari Astaka, Padang Kampus Astra ke Dewan Jubli Perak PUO sambil mengibarkan Jalur Gemilang itu, disertai pelajar, petugas dan masyarakat setempat.
Program itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Ipoh Timur Howard Lee Chuan How dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak Jenny Choi Tsi Jen.
Turut hadir Pengarah Penerangan Negeri Perak Yosri Abu Mahsin, Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia negeri Haslizar Rozally serta Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional negeri Mansor Mohd Hashim.
Lee dalam ucapannya berkata program itu bukan sekadar perarakan atau pertandingan menghias kenderaan, sebaliknya platform memperkukuh semangat patriotisme, nasionalisme dan cinta akan negara.
"Pengisian program itu juga memberikan ruang kepada anak muda mengekspresikan kreativiti melalui pertandingan hiasan kenderaan bertemakan kemerdekaan.
"Kreativiti itu menunjukkan bahawa semangat cinta akan negara boleh dizahirkan melalui pelbagai bentuk termasuk seni, budaya, ilmu pengetahuan dan teknologi," katanya.
Penganjuran program itu turut bertujuan memupuk semangat patriotisme, menghargai perjuangan tokoh kemerdekaan serta mengukuhkan jalinan kerjasama antara institusi pendidikan, agensi kerajaan dan komuniti setempat.
Penglibatan pelajar dalam aktiviti berimpak tinggi seperti itu bukan sekadar aktiviti luar kuliah, malah membentuk pengalaman pembelajaran yang berharga dalam mendidik mereka menjadi warganegara bertanggungjawab dan mempunyai semangat patriotik.
“Program seperti ini diharap dapat menyemarakkan penghayatan terhadap erti kemerdekaan dalam kalangan generasi muda sekali gus mengukuhkan perpaduan rakyat demi kelangsungan negara yang maju, makmur dan sejahtera,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial