SHAH ALAM, 26 Ogos (Bernama) -- Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) 2025 pada Oktober ini dijangka menjadi platform terbaik untuk kerajaan negeri menarik dan memperkukuh pelaburan dalam sektor penjagaan.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata sidang julung kali menghimpunkan pengusaha, penyelidik, badan bukan kerajaan dan pemain industri teknologi penjagaan dari dalam dan luar negara itu dianjurkan sebagai persediaan Selangor menghadapi realiti masyarakat menua.
“Dengan 60 reruai pameran, forum, persidangan, dan padanan perniagaan, SICS menjadi pentas untuk idea baru, kerjasama strategik, dan pelaburan masuk ke Selangor.
“Pada masa sama, kita memperkukuh Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor melalui kerjasama dengan UNICEF Malaysia bagi melindungi perkembangan awal kanak-kanak,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Amirudin berkata keterlibatan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) juga akan menilai dan mengiktiraf nilai kerja penjagaan khususnya yang dilakukan oleh wanita sama ada di rumah atau di pusat jagaan.
Beliau berkata langkah itu akan menyediakan perkhidmatan lebih baik untuk warga emas, kanak-kanak, Orang Kelainan Upaya (OKU) dan penjaga.
Selain itu, peluang pekerjaan akan diwujudkan, kemahiran tenaga kerja ditingkatkan, dan teknologi penjagaan dari negara maju seperti Jepun dan Korea dapat diterapkan.
“Inilah Selangor, negeri pertama di Malaysia membangunkan dasar komprehensif untuk sektor penjagaan sehingga 2030, seiring usaha memastikan kebajikan rakyat demi masa depan lebih selamat, inklusif, dan makmur untuk semua,” katanya.
Sebelum ini, Exco Pembangunan Wanita dan Kebajikan Masyarakat negeri Anfaal Saari berkata SICS 2025 mencerminkan aspirasi dan komitmen kerajaan negeri menjadi hub ekonomi penjagaan yang inklusif, mapan, dan berdaya tahan di rantau Asia Pasifik.
Menampilkan empat komponen utama iaitu forum dasar dan polisi, pameran sektor penjagaan, sesi padanan perniagaan, dan dialog terbuka, SICS 2025 akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 9 hingga 11 Oktober dan dijangka menarik lebih 3,000 peserta tempatan dan antarabangsa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial