Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Hajiji Pandang Serius Budaya Buli Di Sekolah, Mahu Isu Dibendung Segera

26/08/2025 05:47 PM

KOTA KINABALU, 26 Ogos (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor memandang serius isu buli yang semakin berleluasa di institusi pendidikan termasuk sekolah sekali gus mahu budaya itu segera dibendung.

Hajiji berkata beliau secara peribadi berasa amat sedih dengan budaya buli dalam kalangan pelajar dan lebih mengecewakan apabila masalah itu turut berlaku di sekolah agama.

“(Budaya buli) ini suatu keadaan yang tidak wajar berlaku,” katanya dalam kenyataan selepas merasmikan Konvensyen Du’at di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah di sini hari ini.

Hajiji berkata beliau percaya konvensyen hal ehwal agama Islam ialah wadah terbaik untuk bermuhasabah menilai kelemahan dan memperbaiki kekurangan bukan sahaja di sekolah tetapi juga dalam semua organisasi sama ada milik kerajaan atau persendirian.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan Sabah akan terus memperjuangkan agenda memperkasakan dakwah dan memajukan pembangunan Islam menerusi Rancangan Malaysia Ke-13 selaras dengan kehendak serta keperluan semasa.

Beliau berkata ini termasuk transformasi dakwah digital seiring dengan Revolusi Industri Keempat, penempatan pendakwah bersepadu di kawasan pedalaman dan pulau serta program khas belia MADANI bagi melahirkan pendakwah muda berwibawa.

Ad Banner

Kerajaan Sabah turut berbesar hati menyampaikan watikah pelantikan Imam-Imam Daerah di seluruh negeri yang dipilih dalam kalangan Imam-Imam Kariah.

“Sebagai insentif tambahan kepada golongan agamawan, sukacita saya umumkan bahawa kerjaaan negeri melalui MUIS (Majlis Ugama Islam Sabah) akan menambah elaun Imam-Imam Daerah sebanyak RM1,000 sebulan. Sebanyak 33 Imam Daerah akan mendapat manfaat daripada penambahan elaun ini,” katanya.

Hajiji berkata kerajaan Sabah juga bersetuju menaikkan elaun bulanan guru Kelas al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) dan Imam Rawatib sebanyak RM200, masing-masing melibatkan sebanyak 2,480 guru KAFA dan 1,643 Imam Rawatib di negeri itu dengan perbelanjaan hampir RM15 juta setahun.

Selain itu, sebanyak 394 guru takmir akan menerima elaun khas sekali bayar sebanyak RM500 setiap seorang. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan