Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

RUU Bantuan Guaman Dan Pembelaan Awam 2025 Perkukuh Bantuan Undang-undang Untuk Kanak-kanak

26/08/2025 05:53 PM

PUTATAN, 26 Ogos (Bernama) -- Rang Undang-undang (RUU) Bantuan Guaman dan Pembelaan Awam 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat semalam akan mengutamakan serta memperkukuh perlindungan undang-undang untuk kanak-kanak, terutamanya mereka yang menjadi mangsa kes jenayah, dengan tumpuan kepada jenayah seksual.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata semua mangsa kanak-kanak akan menerima bantuan dan sokongan guaman secara automatik, termasuk khidmat pendamping guaman dan pembelaan jika diperlukan.

 Beliau juga telah mengarahkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) untuk memastikan semua kes yang melibatkan kanak-kanak, mereka tidak dibiarkan mengharungi proses undang-undang bersendirian.

"Dalam aspek akta baharu ini, bagi memberikan khidmat guaman kepada kanak-kanak, kita mesti menyediakan bantuan automatik, pendamping guaman untuk mereka.

"Kalau mereka perlukan peguam, khidmat pembelaan dan sebagainya, kita berikan … apabila melibatkan pembelaan undang-undang untuk kanak-kanak, keutamaan akan diberikan termasuk mereka yang kurang upaya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Jelajah Justice On Wheel (JOW) di Dewan Sri Putatan di sini hari ini.

Menerusi RUU berkenaan yang menggantikan Akta Bantuan Guaman 1971, khidmat pembelaan awam akan menjadi lebih inklusif dan sistem bantuan guaman akan diperluas kepada semua kanak-kanak tanpa mengira status kewarganegaraan.

Ad Banner

Bab 4 rang undang-undang itu menjelaskan khidmat pendamping guaman boleh disediakan bagi tujuan menasihati penjaga atau pelindung orang yang dibantu mengenai perkara undang-undang yang timbul daripada prosiding yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga.

Dalam pada itu, Azalina turut menekankan keperluan untuk meningkatkan kesedaran tentang hak undang-undang, khususnya berkaitan isu yang kurang dilaporkan seperti penderaan seksual kanak-kanak. Beliau juga telah menulis kepada Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang memberikan maklum balas positif berkenaan idea menubuhkan platform kerjasama antara sekolah dengan BHEUU.

"Saya tekankan keperluan untuk memastikan sekolah sedar akan kewajipan mereka untuk melaporkan. Disebabkan masalah tidak melaporkan kes, kita mahu pastikan sekolah faham jika mereka mempunyai maklumat tertentu, mereka perlu melaporkannya. Jika tidak, mereka boleh dianggap bersalah," katanya.

Beliau berkata adalah tidak adil jika semua perkara berkaitan kanak-kanak hanya diletakkan di bawah bidang kuasa Pesuruhjaya Kanak-kanak dan Akta Kanak-kanak semata-mata.

Bagi menangani perkara ini, Azalina berkata BHEUU memohon peruntukan daripada Kementerian Kewangan tahun depan untuk melaksanakan kempen kesedaran undang-undang bagi peringkat kebangsaan.

"Tidak cukup sekadar mahkamah dan peguam, orang awam juga perlu tahu hak mereka dan undang-undang yang melindungi kanak-kanak," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan