KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 bakal menjadi pemangkin kepada Bulan Pelancongan Islam (ITM) 2025 sekali gus mengukuhkan lagi peranannya sebagai penanda aras kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Khairul Firdaus Akbar Khan berkata tema Kemampanan dan Keterangkuman amat signifikan kepada ITM 2025 yang akan merangkumi lebih 300 mesyuarat, program dan persidangan.
“Keberhasilan penganjuran bulan pelancongan itu sangat penting. Jika kita berjaya menjadikan pelancongan Muslim sebagai komponen utama dalam naratif pelancongan negara, bayangkan kesan positif yang boleh menyumbang kepada TMM2026,” katanya pada majlis pelancaran media ITM 2025 di sini hari ini.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pemangku Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre (ITC) Nur Alyssa Coraline Yussin.
Khairul Firdaus berkata ITM 2025 akan menampilkan 82 mesyuarat berkaitan ASEAN sekali gus membuka peluang kepada usahawan pelancongan untuk memperkenalkan produk dan tarikan Pelancongan dan Hospitaliti Mesra Muslim (MFTH) Malaysia.
“Di sebalik kesibukan ITM 2025, mari kita manfaatkan program ASEAN ini untuk mempromosi produk kita,” katanya sambil menambah penyelarasan antara ITM 2025 dan agenda ASEAN turut berupaya memperkasakan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang membentuk lebih 90 peratus ekonomi negara.
Beliau berkata sepanjang penganjuran ITM, PKS dan pengusaha pelancongan mesra Muslim berjaya menjana pendapatan melebihi RM5 juta.
Sementara itu, Nur Alyssa berkata ITM yang kini memasuki tahun keempat telah berkembang menjadi kempen berskala nasional bagi memperlihatkan ekosistem MFTH Malaysia.
“Benih yang disemai sejak 2022 kini berkembang menjadi platform yang memperlihatkan keistimewaan Malaysia sebagai destinasi mesra Muslim. Dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 kian menghampiri, ITM akan menonjolkan pengalaman budaya autentik dan mudah diakses selain promosi pelancongan yang menarik,” katanya.
Beliau berkata berdasarkan data Tourism Malaysia, ASEAN kekal sebagai penyumbang utama ketibaan pelancong antarabangsa bagi tempoh Januari hingga April tahun ini, diterajui Singapura (6.52 juta meningkat 28.5 peratus), Indonesia (1.47 juta meningkat 11.6 peratus) dan Thailand (833,610 meningkat 3.4 peratus).
Sejak diperkenalkan, ITM telah melibatkan lebih 300 rakan industri dan menjana nilai melebihi RM5 juta.
Nur Alyssa berkata ITM 2025 bakal menampilkan lapan kategori, iaitu hari terbuka masjid, produk makanan dan minuman, penginapan, pameran, pakej pelancongan, acara membeli-belah, spa dan kesihatan serta tarikan pelancong dan taman tema.
Tarikan utama ialah Cabaran TikTok ITM yang menggalakkan pencipta kandungan berkongsi video pengalaman mereka di premis rakan kerjasama yang menawarkan hadiah bernilai lebih RM50,000, termasuk percutian ke Xi’an, China, dan percutian pelayaran bersama Aroya Cruises.
Beliau berkata baru-baru ini, ITC memenangi BrandLaureate Brand of the Year Award 2024 bagi kecemerlangan dalam penyelesaian pelancongan Muslim melalui inisiatif MFTH Assurance and Recognition (MFAR).
Tujuh pengendali pelancongan baharu daripada Persatuan Pelancongan China Masuk Malaysia (MICA) turut menyertai program MFAR.
Nur Alyssa turut menggesa komuniti setempat dan pemain industri untuk bersama menjayakan ITM 2025 kerana layanan mesra dan keramahan rakyat kunci utama kepada daya tarikan Malaysia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial