Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lelaki Ditemui Maut Dilanggar Tren Di Chemor

26/08/2025 06:52 PM

IPOH, 26 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki maut dipercayai dilanggar tren Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kejadian di Kilometer 156 berhampiran sebuah kuil di Pekan Chemor di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata pihaknya menerima makluman berhubung kejadian itu daripada KTMB selepas pemandu tren pengangkutan awam itu memaklumkan terdengar dentuman kuat di lokasi berkenaan.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku sekitar pukul 6 pagi ketika tren dalam perjalanan dari Ipoh ke arah utara. Pemandu tren terdengar dentuman kuat pada bahagian hadapan, namun tidak dapat mengenal pasti objek disebabkan keadaan gelap dan berkabus.

“Pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian menemukan serpihan anggota badan manusia bersama barangan peribadi dipercayai milik mangsa dan pemeriksaan di tempat kejadian dijalankan oleh Unit Forensik dan Unit Anjing Pengesan (K9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak dan pasukan patologi Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata mangsa dipercayai berjantina lelaki berdasarkan pada pakaian dan cebisan anggota badan dihantar ke Jabatan Forensik HRPB untuk proses bedah siasat yang dijadualkan hari ini.

“Setakat ini tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) dan sehingga kini identiti sebenar mangsa belum dikenal pasti.

Ad Banner

“Polis menyeru mana-mana individu yang kehilangan ahli keluarga supaya berhubung dengan Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Safrizal Mohd Saad di talian 017-3446 790, Balai Polis Chemor atau Ibu Pejabat Polis Ipoh bagi tujuan pengecaman dan pengesahan identiti mangsa,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan