Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KKM Terus Beri Kerjasama Dengan AKPS Banteras Penyeludupan Produk Kesihatan – Menteri

26/08/2025 08:53 PM

MUAR, 26 Ogos (Bernama) – Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memperkukuh kerjasama dengan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) bagi membanteras kegiatan penyeludupan produk kesihatan di negara ini.

Menterinya Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata selain aspek penguatkuasaan, AKPS turut memainkan peranan penting dalam advokasi dan pendidikan awam bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai bahaya produk kesihatan seludup.

Sejak ditubuhkan tahun lalu, objektif AKPS semakin jelas termasuk kejayaan terbaru mematahkan cubaan menyeludup ubat tidak berdaftar bernilai RM85,000 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA),” katanya kepada media selepas lawatan rasmi ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), di sini hari ini.

Menurutnya KKM akan terus menyertai pasukan AKPS bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Imigresen serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Fokus penguatkuasaan adalah terhadap peraturan di bawah Akta Jualan Dadah serta Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya.

Minggu lepas, media melaporkan AKPS berjaya menggagalkan cubaan menyeludup lebih 60,000 unit ubat daripada 30 jenis berbeza yang tidak berdaftar dengan KKM di KLIA Terminal 1.

Ad Banner

Kenyataan AKPS menyebut penemuan itu dibuat selepas pegawai kastam mengesan imej imbasan mencurigakan pada empat bagasi milik seorang lelaki warganegara Bangladesh sebelum pemeriksaan terperinci dijalankan.

Sementara itu, KKM dalam kenyataan berasingan memaklumkan lawatan Dzulkefly ke HPSF bertujuan meninjau tahap kesiapsiagaan fasiliti berkenaan dalam memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada masyarakat tanpa mengira latar belakang sosioekonomi.

HPSF yang berstatus hospital jenis dua juga berperanan sebagai Hospital Kluster Utama bagi Johor Utara, meliputi Hospital Segamat dan Hospital Tangkak, dengan kapasiti 575 katil serta hampir 18 perkhidmatan kepakaran termasuk Perubatan Am, Pembedahan Am, Ortopedik, Mikrobiologi, Anestesiologi dan Kecemasan & Trauma.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan