Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kayuhan Basikal Antik Semarakkan Semangat Merdeka Di Taman Sri Stulang

27/08/2025 11:27 AM

JOHOR BAHRU, 27 Ogos (Bernama) -- Deretan 15 basikal antik berhias Jalur Gemilang menjadi tumpuan dalam acara kayuhan berwarna-warni sempena sambutan Bulan Kebangsaan di Taman Sri Stulang, di sini baru-baru ini bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan penduduk setempat.

Lebih 30 kanak-kanak hingga warga emas sama-sama menunggang pelbagai jenis basikal dalam acara itu bagi menyemarakkan suasana dengan sorakan, gelak tawa dan bunyi loceng bersahut-sahutan sambil peserta melaungkan “Merdeka!”.

Acara anjuran penduduk setempat itu diterajui Azhan Taib, 67, yang sejak 17 tahun lepas tidak pernah gagal mengibarkan Jalur Gemilang di setiap penjuru Taman Sri Stulang sebagai lambang cinta tidak berbelah bahagi kepada tanah air.

“Basikal antik ini ada sejarahnya, ada yang diwarisi daripada ayah dan ada yang sudah dibaiki berulang kali. Kita mahu generasi muda mengenali warisan ini dan pada masa sama terlibat menyemarakkan semangat kemerdekaan,” katanya bersemangat menjayakan program itu walaupun mempunyai masalah kesihatan.

Beliau berkata kayuhan berkenaan bukan sekadar riadah, sebaliknya menghubungkan penduduk setempat dengan komuniti luar, sambil menyulam nostalgia ketika melihat basikal klasik yang pernah menjadi nadi pengangkutan masyarakat suatu ketika dahulu.


Di sepanjang laluan kayuhan itu, penduduk setempat tidak melepaskan peluang memberi sorakan, ada yang mengibarkan Jalur Gemilang dari tingkap rumah dan tidak kurang juga yang merakam detik bersejarah itu dengan telefon pintar mereka.

Ad Banner

Sementara itu, Chen Oon, 71, yang mengayuh basikal antik peninggalan bapanya berkata program itu membawa makna besar tentang semangat kebersamaan.

“Kita mahu generasi muda faham bahawa kemerdekaan bukan sekadar menghias bendera, tetapi menghargai nilai perpaduan yang kita warisi sejak dahulu. Itulah semangat sebenar merdeka,” katanya.


Keseronokan itu turut dirasai pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Tebrau Bakar Batu Rayyan Abdullah, 11, yang tidak sabar untuk menyertai acara berkenaan pada tahun depan.

“Acara ini memang meriah, seronok dapat berkayuh dengan kawan-kawan sambil membawa bendera. Harap pakcik Azhan akan terus anjurkan lagi,” katanya.

Tinjauan Bernama di sekitar Taman Sri Stulang mendapati lebih 300 Jalur Gemilang dan bendera negeri Johor berkibar megah di setiap sudut, menyemarakkan lagi semangat patriotik menjelang sambutan Hari Kebangsaan 31 Ogos ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan