Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lebuhraya Pan Borneo Kota Kinabalu-Kudat Siap Berperingkat Selewat-lewatnya 2028

27/08/2025 12:45 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Jajaran Lebuhraya Pan Borneo (LPB) dari Kota Kinabalu ke Kudat dijadualkan siap secara berperingkat selewat-lewatnya suku ketiga 2028, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Beliau berkata jajaran berkenaan melibatkan pembinaan jalan pesisiran pantai merangkumi lapan pakej kerja iaitu Pakej 7 hingga Pakej 14, yang kini sedang dilaksanakan dengan pemantauan rapi Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah.

“Setakat ini, empat daripada 35 pakej kerja LPB Sabah telah siap dan dibuka kepada pengguna. Bagi jajaran Kota Kinabalu-Kudat, status kemajuan projek berbeza mengikut pakej, dengan sebahagiannya hampir siap manakala baki dijangka siap secara berperingkat sehingga 2028,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Verdon Bahanda (Bebas-Kudat) pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Menurutnya, antara pakej yang hampir siap ialah Pakej 10 Bintulu-Rampaian Laut dengan kemajuan 97.11 peratus (dijangka siap 14 Nov tahun ini), dan Pakej 8 Sepanggar-Bulatan Berungis (84.24 peratus) yang dijadual siap pada 10 Dis 2025.

Sementara itu, Pakej 7 Inanam-Sepanggar merekodkan kemajuan 87.91 peratus dan dijangka siap pada 2 Nov 2026.

Nanta menegaskan projek LPB Sabah sejauh 706 kilometer adalah projek berimpak tinggi dan menjadi keutamaan Kementerian Kerja Raya (KKR). Pihaknya, katanya, komited memastikan ia siap mengikut jadual demi memperkukuh jaringan infrastruktur jalan raya Persekutuan di Sabah.

Ad Banner

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan