Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Dijangka Mula Keluarkan SAF Dalam Negara Sebelum Akhir 2025

27/08/2025 01:07 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Malaysia dijangka mula mengeluarkan bahan api penerbangan mampan (SAF) dalam negara sebelum akhir 2025 melalui permulaan operasi komersial Ecoceres Renewable Fuels Sdn Bhd di Tanjung Langsat, Johor, kata Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Chan Foong Hin.

Beliau berkata bagi membangunkan industri SAF negara, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah, sedang dan akan melaksanakan beberapa langkah utama.

“Kerajaan memudah cara urusan pelesenan di bawah Akta Industri Biobahan Api Malaysia 2007 bagi pembangunan loji pengeluaran SAF serta menyokong infrastruktur berkaitan seperti penyimpanan, pengadunan, pengangkutan dan pengagihan.

“KPK juga sedang membangunkan dokumen strategi pengeluaran SAF dengan menyediakan pelan strategik yang merangkumi penilaian ketersediaan bahan mentah, mempergiat kempen kesedaran mengenai pengumpulan minyak masak terpakai melalui kerjasama dengan industri dan komuniti,” katanya semasa sesi soal jawab di persidangan Dewan Negara di sini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Senator Che Alias Hamid mengenai langkah yang dilakukan oleh KPK dalam memastikan Malaysia menjadi pengeluar SAF pada 2027.

Chan berkata KPK turut merangka cadangan pengenalan mandat adunan SAF sebanyak satu peratus bagi penerbangan antarabangsa yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bermula Januari 2027.

Ad Banner

“Perincian pelaksanaannya sedang dimuktamadkan bersama industri dan pihak berkepentingan yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata Dasar Biobahan Api Negara turut disemak dan dipinda dengan memasukkan SAF dan biobahan api generasi kedua lain sebagai antara komponen strategik, selari dengan perkembangan teknologi dan keperluan pasaran global.

KPK yakin pelaksanaan semua langkah itu akan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pengeluar dan pengeksport utama SAF di rantau ini, sekali gus membuka peluang baharu kepada industri agrikomoditi negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan