Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KUSKOP Perkasa Sosioekonomi Masyarakat India Selaras Aspirasi RMK13 - Ramanan

27/08/2025 01:09 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) komited memperkasakan sosioekonomi masyarakat India melalui pendekatan inklusif selaras dengan aspirasi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), dengan tumpuan kepada latihan berstruktur, transformasi digital serta akses pembiayaan modal.

Timbalan Menterinya Datuk Seri R. Ramanan berkata strategi itu bukan sahaja memastikan komuniti India terus berdaya saing dalam arus perdana ekonomi malah berupaya mempercepatkan mobiliti sosial dan merapatkan jurang pendapatan seiring agenda Malaysia MADANI.

“Pada 2025 ini, Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) berkolaborasi bersama Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) bagi melaksanakan Program Keusahawanan Komuniti India Malaysia (MICEP).

“Program ini merangkumi penyediaan latihan dan bimbingan keusahawanan oleh INSKEN manakala pemberian geran disalurkan oleh MITRA kepada peserta yang memenuhi syarat kelayakan dan telah menyempurnakan program latihan dan bimbingan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Seri S.Vell Paari yang ingin mengetahui inisiatif kerajaan di bawah RMK13 bagi membantu usahawan mikro dan kecil komuniti India mendapatkan akses kepada latihan, pendigitalan dan pembiayaan modal.

Mengulas lanjut, Ramanan berkata 450 peserta telah terpilih untuk menyertai Kursus Asas Keusahawanan dan Kursus Asas Pembangunan Produk dan Servis (KAKAPPS) di bawah MICEP.

Ad Banner

“Peserta yang berjaya menyelesaikan tugasan ditetapkan akan menjalani sesi bimbingan intensif selama empat bulan melalui Program Bimbingan Bisnes INSKEN (IBC) bersama pakar industri yang dilantik berserta geran perniagaan berjumlah hingga RM20,000 seorang.

“Selain itu, penyediaan Studio TikTok Shop oleh Tabung Ekonomi Kumpulan Usahawan Niaga (TEKUN) Nasional untuk usahawan mengadakan penstriman langsung dengan teknologi terkini,” katanya.

Beliau memberi jaminan penyertaan masyarakat India dalam pembangunan ekonomi negara mampu mempercepatkan mobiliti sosial, merapatkan jurang pendapatan serta menyumbang ke arah pembinaan sebuah masyarakat lebih sejahtera dan makmur dalam kerangka Malaysia MADANI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan