Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Malaysia Tingkatkan Kerjasama Serantau Melalui Rangka Kerja Hijau ASEAN - KESUMA

27/08/2025 03:26 PM

PUTRAJAYA, 27 Ogos (Bernama) -- Malaysia berhasrat memperkukuh kerjasama serantau di bawah Kepengerusian ASEAN 2025 melalui pengenalan Rangka Kerja dan Pelan Tindakan ASEAN bagi Peralihan Adil dan Inklusif Ke Arah Pekerjaan Hijau (2025-2030), kata Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Beliau berkata inisiatif berkenaan turut merangkumi penubuhan Pusat Kecemerlangan Serantau ASEAN bagi Pekerjaan Hijau (AGJCOE) yang bertujuan menggalakkan usaha lebih giat dalam kalangan negara anggota ke arah pelaburan, penciptaan pekerjaan dan latihan dalam sektor ekonomi hijau.

“ASEAN mengiktiraf peluang besar untuk menjadi contoh pembangunan mampan di peringkat global. Namun kita juga sedar akan jurang dari segi pelaburan, infrastruktur dan yang paling penting, dasar kerajaan,” katanya semasa merasmikan Forum Pekerjaan Hijau ASEAN di sini hari ini.

Beliau berkata ketika beberapa rantau semakin sukar untuk bekerjasama, ASEAN pula perlu terus mengekalkan prinsip centrality, persahabatan yang terjalin sekian lama serta pendekatan fleksibel demi masa depan yang lebih lestari.

Sim berkata model kerjasama ASEAN yang berasaskan kepada prinsip keterangkuman dan konsensus telah terbukti berjaya menangani cabaran serantau, antaranya melalui projek seperti Grid Tenaga ASEAN, pembayaran digital rentas sempadan serta taksonomi ASEAN untuk kewangan mampan.

“Ini adalah contoh bagaimana sebuah rantau boleh menangani isu global secara bersama, membangunkan keupayaan tempatan serta memacu pertumbuhan hijau sambil memastikan kepentingan negara tetap terpelihara,” katanya.

Ad Banner

Mengenai inisiatif nasional, Sim berkata, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) menyasarkan pelepasan sifar bersih menjelang 2050 dan setakat ini telah berjaya menarik pelaburan berjumlah RM25 bilion bagi fasa pertama.

Beliau berkata pelan berkenaan dijangka mewujudkan sehingga 300,000 pekerjaan hijau menjelang 2050, dengan banyak daripadanya menawarkan gaji melebihi paras gaji minimum negara.

Di peringkat ASEAN, beliau berkata, Rangka Kerja dan Pelan Tindakan itu akan memperkukuh strategi nasional seperti NETR untuk memastikan peralihan kepada ekonomi hijau berlaku secara adil, inklusif dan memberikan manfaat kepada semua lapisan masyarakat.

“Dari aspek iklim, bentuk muka bumi dan faktor manusia - ASEAN memiliki cahaya matahari dan angin sepanjang tahun, biodiversiti yang kaya, serta masyarakat yang erat hubungannya dengan alam hasil daripada sejarah budaya agraria dan maritim. Inilah kelebihan unik kita dalam memacu pembangunan mampan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan