Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

LLRC Gesa Agar Rang Undang-Undang Pekerja Gig 2025 Diluluskan

27/08/2025 03:49 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Gabungan Reformasi Undang-Undang Perburuhan (LLRC) menggesa Ahli-ahli Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pekerja Gig 2025 dalam sidang yang sedang berlangsung, walaupun terdapat desakan berterusan daripada penyedia platform untuk menangguhkan pelaksanaannya.

Naib Presiden LLRC Andrew Lo berkata RUU ini amat penting untuk memastikan perlindungan yang lebih baik serta jaringan keselamatan sosial yang lebih kukuh bagi pekerja gig, terutamanya pemandu e-hailing dan penghantar (p-hailing).

“Jelas bahawa mereka (penyedia platform) menentang caruman mandatori seperti Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang bertujuan untuk melindungi pekerja gig.

“Pemandu e-hailing dan penghantar menghadapi risiko kemalangan yang paling tiggi ketika dalam perjalanan, namun penyedia platform terus menolak caruman dan perlindungan wajib,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata membenarkan pengecualian sedemikian mewujudkan kelebihan persaingan yang tidak adil berbanding majikan tradisional yang sudah diwajibkan membuat caruman bagi pihak pekerja mereka.

Lo turut mengkritik pemain industri yang didakwanya menggunakan taktik menakut-nakutkan dengan mendakwa RUU berkenaan akan meningkatkan kos dan menghalang inovasi.

Ad Banner

“Adalah mengecewakan apabila firma besar ini menggunakan taktik menakut-nakutkan dan dakwaan yang tidak berasas. Revolusi digital dan ekonomi gig tidak seharusnya wujud hanya untuk menguntungkan pemain industri besar dengan mengorbankan pekerja dan pengguna,” katanya.

RUU Pekerja Gig 2025 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Isnin oleh Kementerian Sumber Manusia untuk bacaan kali pertama itu menumpukan kepada empat bidang utama - definisi rasmi pekerja gig, peraturan mengenai pendapatan dan kadar pembayaran, mekanisme penyelesaian pertikaian dan langkah perlindungan sosial.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan