JOHOR BAHRU, 27 Ogos (Bernama) -- Kerajaan Johor menggerakkan pemantauan segera terhadap semua fasiliti utama termasuk jambatan, jalan raya dan empangan susulan gempa bumi lemah yang berlaku di Segamat pagi ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata langkah itu susulan gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud berlaku pada 8.59 pagi tadi di Segamat, dengan gegaran dilapor dirasai di beberapa kawasan di Johor serta selatan Pahang.
“Kerajaan negeri melalui agensi teknikal seperti Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Badan Kawalselia Air Johor (BAKAJ) akan terus memantau keadaan jambatan, jalan raya, empangan serta fasiliti utama bagi memastikan semuanya berada dalam keadaan selamat dan baik.
“Pihak Petronas juga akan menghantar laporan keadaan aset dan fasiliti mereka di dalam radius terlibat. Sama-sama kita berdoa agar kita semua sentiasa dilindungi daripada sebarang musibah,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati, mengelakkan diri daripada berada di kawasan atau bangunan tinggi buat sementara waktu serta sentiasa peka terhadap sebarang arahan pihak berkuasa kerana keselamatan keluarga dan orang sekeliling perlu menjadi keutamaan.
MetMalaysia hari ini mengesahkan gempa bumi lemah berukuran 3.2 magnitud berlaku pada 8.59 pagi tadi di Segamat, dengan gegaran dilapor dirasai di beberapa kawasan di negeri itu serta selatan Pahang.
Pada 24 Ogos lepas, MetMalaysia mengesahkan gempa bumi lemah berlaku di daerah sama pada 6.13 pagi dengan kekuatan magnitud 4.1 disusuli gegaran kedua pada 9 pagi di Yong Peng, 28 km barat laut Kluang dengan magnitud 2.8 pada kedalaman 10 km.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial