PEKAN, 28 Ogos (Bernama) -- Projek ternakan oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) di Badong di sini diperluaskan kepada udang putih pada tahun ini sekali gus membantu negara dalam memperkasakan bidang akuakultur.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata usaha yang dilaksanakan antara NEKMAT dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) melibatkan modal pelaburan sebanyak RM3 juta itu juga dapat membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Kita harap rakyat tempatan diberi keutamaan untuk bekerja di sini, malah mereka juga boleh belajar dan mendapat pendedahan dalam bidang akuakultur.
“Berdasarkan taklimat diberikan, projek berkenaan akan memberikan pulangan pelaburan (ROI) dalam tempoh lima tahun namun kita harap mereka boleh capai sebelum tempoh itu,” katanya kepada pemberita ketika melakukan lawatan kerja Program Tuaian Udang Pusingan Pertama Projek Ternakan Udang NEKMAT di Badong di sini.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata terdapat kawasan pantai yang telah digantikan dengan pembangunan lain menyebabkan penangkapan ikan berkurangan, justeru bidang akuakultur atau ternakan di darat harus dipertingkatkan.
“Kadar Sara Diri (SSR) negara bagi ikan capai lebih 90 peratus kerana sokongan daripada akuakultur dan ia mesti diperbesarkan kalau laut kita semakin kurang penangkapan akibat pembangunan (terutama) di sebelah pantai barat,” katanya.
Beliau berkata pihaknya akan menumpukan bidang akuakultur ini di lokasi nelayan yang berhadapan masalah untuk ke laut antaranya Perlis, Pulau Pinang, Melaka dan Negeri Sembilan.
“Ruang tangkapan di kawasan itu semakin sempit sebab ada tebus guna pantai dan sebagainya maka kita galakan mereka meneruskan tangkapan di laut tapi pada masa sama nak bawa mereka ke program akuakultur,” katanya.
Sementara itu, Pengurus Besar NEKMAT Azrin Shah Ismail berkata sebelum ini projek ternakan di Badong menumpukan kepada ternakan ikan kerapu dan diperluaskan kepada udang putih yang diternak di dalam empat kolam bermula Mei lepas.
Beliau berkata projek berkenaan telah membuahkan hasil apabila 18 tan udang putih telah dijual setakat semalam kepada pemborong dan penduduk setempat dengan harga RM12 hingga RM28 sekilogram.
Azrin Shah berkata NEKMAT menyasarkan untuk memperluaskan ternakan udang pada masa akan datang dengan 120,000 kilogram pengeluaran melibatkan hasil jualan RM3 juta setahun dengan penambahan 10 kolam udang.
Pada program berkenaan turut diadakan jualan terus dari ladang dengan ikan kerapu dan udang putih dijual pada harga RM15 sekilogram.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial