Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Kerajaan Digesa Percepat Reformasi Perkhidmatan Awam Di Bawah RMK13

28/08/2025 09:09 PM

KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kerajaan digesa mempercepatkan pelaksanaan pembaharuan perkhidmatan awam di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi memastikan sistem penyampaian yang lebih cekap, telus dan berdaya saing, sekali gus menyokong transformasi ekonomi negara.

Senator Tan Sri Low Kian Chuan berkata pembaharuan perkhidmatan awam wajar menjadi keutamaan dalam strategi pelaksanaan RMK13, khususnya untuk memperkukuh kecekapan sistem penyampaian dan ketelusan pentadbiran awam.

Beliau berkata pembaharuan itu termasuk semakan semula akta berkaitan pendidikan dan pentadbiran bagi menyokong keperluan ekonomi semasa dan perkembangan teknologi.

“Perkhidmatan awam yang cekap, telus dan responsif amat penting untuk memastikan kelancaran pelaksanaan dasar kerajaan serta menarik lebih banyak pelaburan langsung domestik (DDI) dan pelaburan langsung asing (FDI),” katanya ketika membahaskan usul RMK13 di Dewan Negara hari ini.

Low berkata keupayaan sistem perkhidmatan awam menyesuaikan diri dengan persekitaran ekonomi global yang dinamik akan menjadi penentu daya saing Malaysia dalam jangka panjang.

Sementara itu, Senator Datuk Seri Dr Awang Sariyan berkata tumpuan kerajaan terhadap usaha menambah baik tadbir urus dan memastikan perkhidmatan telus, tangkas dan tuntas dalam RMK13 merupakan komitmen untuk memperkukuh integriti, akauntabiliti serta meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam dan pengurusan fiskal.

Ad Banner

“Maka itu, usaha menangani rasuah amat penting bagi menjaga kemakmuran negara dan membina masyarakat yang adil, saksama dan berakhlak mulia.

“Aspek tadbir urus yang baik, integriti dan antirasuah bukan sahaja mesti dilaksanakan, malah undang-undang juga mesti dilihat benar-benar dikuatkuasakan. Tidak wajar ada pengecualian atas sebab apa pun,” katanya.

Beliau turut menyarankan kerajaan menambah baik serta mengkaji semua inisiatif Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selain meneliti strategi negara seperti Denmark, New Zealand, Finland, Sweden dan Singapura yang mencatat kadar jenayah rasuah rendah secara konsisten.

Katanya kecekapan dan keberkesanan penyampaian perkhidmatan perlu digerakkan dengan terancang dan tegas agar isu kerenah birokrasi dan kelemahan sistem penyampaian tidak berterusan.

Dalam pada itu, pendekatan kebajikan dalam pemerkasaan ekonomi dan pendidikan inklusif bagi komuniti Orang Kurang Upaya (OKU) turut mendapat perhatian.

Senator Isaiah Jacob yang mewakili OKU berkata kerajaan wajar memperuntukkan sebahagian daripada RM67 bilion dana sektor pendidikan bagi memperkukuh infrastruktur dan peluang pendidikan untuk OKU, termasuk dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Saya cadangkan supaya diwujudkan kurikulum dan tenaga pengajar inklusif dalam TVET mesra-OKU, disediakan biasiswa khas bukan sahaja untuk kemasukan ke universiti tetapi juga latihan kemahiran, selain menaikkan elaun pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) daripada RM150 kepada RM250,” katanya.

Isaiah turut menggesa supaya PPKI dimantapkan dengan penyediaan bilik darjah berfasiliti moden, tandas mesra-OKU dan tenaga pengajar berkelayakan bagi menjamin hak pendidikan yang saksama dengan pelajar arus perdana.

Persidangan Dewan Negara bersambung Isnin.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan