Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SPNB Siap 11,307 Rumah Mesra Rakyat Di Kelantan

29/08/2025 12:38 AM

MACHANG, 28 Ogos (Bernama) -- Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) terus memperkukuh komitmen menyediakan kediaman mampu milik apabila sebanyak 11,307 unit Rumah Mesra Rakyat (RMR) berjaya disiapkan di Kelantan setakat ini.

Pengerusi SPNB Datuk Prof. Dr. Mohd Azmi Mohd Lila berkata angka itu adalah sebahagian daripada lebih 73,000 unit RMR yang dibina di seluruh negara sejak program itu diperkenalkan.

“Daripada jumlah berkenaan, 537 unit terletak di Parlimen Machang termasuk 81 unit di Dewan Undangan Negeri (DUN) Temangan. Pencapaian ini membuktikan komitmen berterusan SPNB menyokong agenda perumahan negara di bawah seliaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT),” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Kunci dan Surat Tawaran RMR di Kampung Banggol Kemian, hari ini, yang disempurnakan Timbalan Menteri Besar Kelantan merangkap ADUN Temangan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Pada majlis itu, 11 surat tawaran dan satu kunci rumah diserahkan kepada penerima yang blayak.

Mohd Azmi berkata bagi tahun ini sahaja, SPNB diamanahkan membina 5,450 unit RMR di seluruh negara, termasuk 855 unit di Kelantan.

Ad Banner

“Setakat ini, 526 unit berjaya disiapkan manakala selebihnya dalam pelaksanaan. Setiap rumah berkeluasan 750 kaki persegi dengan tiga bilik tidur serta dua bilik air pada harga RM75,000.

“Kerajaan menyediakan subsidi RM20,000, manakala baki RM55,000 adalah pinjaman tanpa faedah yang boleh dijelaskan dalam tempoh 16 tahun.

“SPNB akan terus memberi tumpuan memperkasa agenda perumahan dan kesejahteraan rakyat selaras kerangka Malaysia MADANI,” katanya.

Beliau turut menggalakkan orang ramai memohon RMR secara dalam talian melalui portal rasmi SPNB di www.spnb.com.my.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan