Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Hari Kebangsaan 2025: Perkhidmatan Teksi Air Terima Sambutan Luar Biasa

31/08/2025 08:48 AM

Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan

PUTRAJAYA, 31 Ogos (Bernama) -- Perkhidmatan teksi air yang diperkenalkan khas sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 menerima sambutan luar biasa daripada pengunjung pelbagai kaum yang hadir memeriahkan acara sambutan di Dataran Putrajaya hari ini.

Perkhidmatan yang beroperasi secara percuma bermula seawal 5 pagi hingga 2 petang itu memudahkan pergerakan pengunjung yang hadir menyaksikan acara sambutan itu sekali gus memberikan mereka peluang merasai pengalaman menaiki bot yang merentasi Tasik Putrajaya. 

Ad Banner

Muhammad Amrun Ruzali, 34, daripada Semenyih, Selangor berkata beliau bersama anak-anak teruja menaiki perkhidmatan teksi air dan menyifatkan ia sebagai satu pengalaman berharga.

“Kebiasaanya kami sekeluarga menaiki motosikal ke sambutan Hari Kebangsaan tetapi apabila tahun ini ada perkhidmatan teksi air, kami cuba dan ia memudahkan pergerakan.

“Anak-anak juga teruja menaiki teksi air merentasi Tasik Putrajaya pada waktu pagi,” katanya kepada Bernama.

Ad Banner

Guru sekolah di Selangor itu berkata beliau bersama isteri Imatul Nafisa Nor Hazizan, 33, serta dua anak lelaki memang sentiasa hadir menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan.

Beliau berkata perkara itu dilakukan bagi menaikkan semangat patriotik anak supaya mereka memahami erti kemerdekaan yang dikecapi Malaysia serta cintakan tanah air.

“Anak sulung berusia tujuh tahun memang teruja menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan dan perarakan badan beruniform, khususnya pasukan Angkatan Tentera Diraja Malaysia (PDRM),” katanya. 

Sementara itu, Nurhana Sarkhan, 41, dari Subang Jaya, Selangor pula memuji inisiatif perkhidmatan teksi air yang selesa serta memudahkan pergerakan ke lokasi sambutan.

"Perkhidmatan ini sangat baik, saya memang enjoy (seronok) dapat naik teksi air dan ia adalah percuma,” katanya.

Mohd Nasirudin Mohd Zainudin, 37, dari Mersing, Johor pula berkata pengalaman menaiki teksi air bagi menyaksikan sambutan Hari Kebangsaan memang amat berharga kerana ia turut menyemarakkan semangat patriotisme rakyat.

“Saya cukup teruja dan ini kali pertama saya menaiki teksi air merentasi Tasik Putrajaya, perkhidmatan ini amat baik dan selamat,” katanya sambil menambah inisiatif ini wajar diteruskan pada sambutan akan datang.

Tinjauan Bernama mendapati perkhidmatan teksi air yang dimulakan seawal 5 pagi itu beroperasi mengikut jadual dan aspek keselamatan turut dititikberatkan dengan pengunjung akan memakai jaket keselamatan sepanjang perjalanan. 

Pengangkutan air percuma sempena sambutan Hari Kebangsaan itu disediakan di Jeti Ayer@8, Presint 8 ke Jeti Monumen, Presint 2;  Jeti Marina Putrajaya, Presint 5 ke Jeti Anjung Floria, Presint 4 serta Jeti Kelab Tasik Putrajaya, Presint 8 menuju Jeti JAKIM, Presint 3.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan