KUALA LUMPUR, 1 Sept (Bernama) -- Kehadiran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menerusi Operasi Starlight III di Wilayah Sagaing, Myanmar bukan sahaja membawa rawatan perubatan, malah menyuntik semula harapan kepada mangsa gempa bumi yang kehilangan rumah, pekerjaan dan insan tersayang.
Di tengah kekalutan bencana yang melumpuhkan sistem kesihatan, pasukan perubatan ATM menjadi ‘penyelamat sementara’ dengan menubuhkan hospital medan lengkap dalam tempoh 72 jam selepas tiba di lokasi bencana pada 18 April lepas.
Pengarah Kesihatan Bahagian Kesihatan Ketenteraan (J9) Markas Angkatan Bersama Kol Dr Ahmad Farhan Ahmad Fuad berkata hospital medan itu dibangunkan di kawasan gersang sehingga mampu menempatkan 20 katil pesakit, bilik pembedahan, wad rawatan pesakit luar serta dua katil Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Kita bawa pakar bius, pakar bedah dan pakar plastik bagi melakukan rawatan rekonstruktif. Bila bercakap tentang trauma, ia bukan sekadar rawatan awal tetapi juga pemulihan jangka panjang.
“Jadi Operasi Starlight III bukan hanya first response, tetapi lebih menyeluruh,” katanya kepada pemberita selepas sesi temu bual program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.
Operasi selama hampir 50 hari itu disertai 69 pegawai dan anggota pelbagai kepakaran. Selain tenaga perubatan, ATM turut menghantar pasukan kejuruteraan dan komunikasi bagi memastikan operasi kendiri dapat dijalankan, termasuk penyediaan air bersih, tempat tinggal dan bekalan elektrik di kawasan terjejas.
Dr Ahmad Farhan berkata cabaran terbesar ialah masa persiapan singkat iaitu hanya 72 jam sebelum penugasan, selain faktor keselamatan serta koordinasi dengan pihak berkuasa kesihatan tempatan.
“Ketika menerima arahan, kita perlu bersedia secara mental dan fizikal. Myanmar pula ketika itu tidak stabil, jadi kita perlukan maklumat tepat tentang lokasi serta demografi pesakit.
“Walaupun menjangka kes trauma yang tinggi, keadaan berubah kerana kita tiba pada fasa pemulihan. Maka fokus turut diberi kepada menyokong sistem kesihatan mereka yang lumpuh,” katanya.
Beliau berkata kejayaan operasi itu adalah hasil pengalaman terdahulu melalui Operasi Starlight I di Cox’s Bazar, Bangladesh (2017-2019) dan Operasi Starlight II di Turkiye (2023), yang memperkukuh keupayaan ATM dari masa ke masa.
“Kali ini kita tambah elemen kejuruteraan dan komunikasi yang sebelum ini tidak dibawa. Ia membolehkan operasi lebih mantap dan teratur,” katanya.
Selain memberi kesan langsung kepada mangsa, operasi itu turut meningkatkan imej Malaysia di mata dunia, khususnya dalam bidang diplomasi pertahanan dan kemanusiaan.
“Malaysia dilihat sebagai negara yang prihatin dan cekap melaksanakan misi bantuan berskala besar. Sebagai pegawai ATM, saya bangga kerana dapat menunjukkan nilai serta peranan negara di persada antarabangsa,” katanya.
Pada 28 Mac lepas, Myanmar dilanda dua gempa bumi kuat yang mengakibatkan kecederaan dan kemusnahan besar.
Gempa pertama bermagnitud 7.7 berlaku di Wilayah Sagaing sekitar 1 tengah hari (waktu tempatan), diikuti gempa kedua bermagnitud 6.4 tidak lama selepas itu. Gegaran turut dirasai sejauh Chiang Mai, Bangkok dan Ho Chi Minh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial