KOTA BELUD, 1 Sept (Bernama) -- Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) telah menyalurkan pembiayaan berjumlah RM1.48 bilion kepada 317,260 usahawan di seluruh negara dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata daripada jumlah itu RM178.14 juta telah disalurkan kepada 30,288 usahawan di Sabah.
“Bagi kawasan Kota Belud, AIM menyalurkan pembiayaan sebanyak RM15.57 juta melibatkan 1,935 usahawan manakala di Kadamaian sahaja sebanyak RM3.4 juta disalurkan kepada 1,312 usahawan.
“Saya berharap pembiayaan ini dapat diteruskan untuk menyokong usahawan informal dan usahawan kecil di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan selepas merasmikan Mini Karnival Sahabat Usahawan AIM di sini hari ini.
Pada majlis itu, turut diadakan penyampaian cek cura pembiayaan AIM berjumlah RM15.57 juta kepada Cawangan Kota Belud. Turut hadir Pengarah Urusan AIM Datuk Mohamed Shamir Abdul Aziz.
Ewon berkata setakat ini Sabah mencatatkan bilangan Sahabat AIM tertinggi iaitu 52,680 orang, termasuk 3,570 Sahabat AIM Cawangan Kota Belud.
Sementara itu, mengenai mini karnival tersebut beliau berkata ia sangat penting sebagai platorm mengeratkan silaturahim sesama Sahabat AIM selain menggalakkan usahawan kecil membudayakan pembayaran secara digital.
Karnival itu turut dimeriahkan dengan Jualan MADANI anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) yang menawarkan potongan harga hingga 20 peratus bagi barangan keperluan harian, selain pertandingan busana tradisional terbaik, dan pertandingan masakan tradisional Hinava.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Sahabat AIM yang berjaya merancakkan ekonomi mikro di daerah itu, serta mengiktiraf usaha AIM membantu wanita luar bandar keluar dari kemiskinan dan membina kejayaan sebagai usahawan kecil
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial