Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Visi Transformasi TH Kepada Institusi Pelaburan Islam Dirujuk Kepada PM Anwar - Mohd Na’im

02/09/2025 07:06 PM

PUTRAJAYA, 2 Sept (Bernama) -- Visi transformasi Lembaga Tabung Haji (TH) daripada institusi simpanan patuh syariah kepada institusi pelaburan Islam akan dirujuk terlebih dahulu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata beliau akan meminta pihak pengurusan TH untuk memberikan taklimat sebelum beliau berjumpa Anwar.

“Saya sudah tentu akan mendapatkan nasihat daripada Perdana Menteri, pada asasnya kita akan dapatkan (nasihat dan pandangan).

Ad Banner

“Saya sendiri secara peribadi sebagai menteri akan sampaikan apa yang dimaksudkan ini kepada Perdana Menteri, dan Perdana Menteri sudah tentu prihatin tentang TH. Apapun sudah tentu saya akan rujuk dengan beliau (Anwar),” katanya selepas menghadiri Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 dan Jasamu Dikenang Yayasan Dakwah Islamiyah Malaysia di sini hari ini.

Mohd Na’im berkata visi transformasi itu bertujuan menjadikan TH sebagai sebuah institusi pelaburan Islam yang lebih dinamik, sekali gus memperkukuh peranan TH dalam menjaga kepentingan pendeposit serta pembangunan ekonomi ummah.

Media hari ini melaporkan Pengerusi Kumpulan TH Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata visi transformasi itu dijangka mengubah model perniagaan TH secara asas, sekali gus membolehkannya menawarkan produk kewangan yang lebih canggih dan berorientasikan pelaburan.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata cadangan itu adalah hasrat Abdul Rashid yang memahami dengan jelas hala tuju institusi berkenaan.

Beliau berkata dari segi pengurusan jemaah haji, TH telah membuktikan kecemerlangan apabila empat tahun berturut-turut menerima anugerah Labbaitum daripada Kerajaan Arab Saudi.

Namun, dari sudut pelaburan dan simpanan, asas serta dasar awal penubuhan TH perlu diperkukuhkan bagi memastikan institusi itu terus kukuh.

Mohd Na’im menegaskan setiap tindakan yang diambil pihak pengurusan serta Ahli Lembaga Pengarah TH mestilah menjamin kepentingan pendeposit dan kelangsungan institusi berkenaan sejajar dengan garis panduan yang telah ditetapkan.

“Ini adalah asas dan dasar yang mesti dan wajib dipatuhi oleh Pengerusi dan KPE (Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad) dan seluruh Ahli Lembaga Pengarah TH,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan