Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

MOTAC Dimohon Bantu Promosi Inap Desa Orang Asli Gua Musang

03/09/2025 03:06 PM

GUA MUSANG, 3 Sept (Bernama) -- Industri ekopelancongan berasaskan warisan dan seni kebudayaan Orang Asli wajar diberi perhatian serta bantuan termasuk oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi menjana ekonomi mampan komuniti Temiar di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Galas Mohd Syahbuddin Hashim berkata kebanyakan penempatan Orang Asli di pedalaman mengambil peluang daripada bentuk geografinya untuk membina inap desa tradisional sebagai sumber pendapatan.

Bagaimanapun, kekurangan promosi dan kehadiran pengunjung menyebabkan inap desa dibangunkan tidak mendapat sambutan sehingga ada terbiar lama.

Ad Banner

“Kalau kita lihat sebelum ini, inap desa di Kampung Redip, Pos Hau yang dibina daripada buluh dan hasil hutan antara tarikan pelancong untuk menginap serta melakukan aktiviti. 

“Kesan pandemik COVID-19 menyebabkan inap desa ini terbiar. Langkah wajar perlu diambil untuk membangunkan semula inap desa berkenaan dan MOTAC wajar membantu mempromosikan tempat ini yang kaya dengan alam semula jadi,” katanya kepada pemberita di Pos Hau di sini hari ini.

Mohd Syahbuddin berkata Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) sebelum ini telah menyalurkan peruntukan menaik taraf inap desa di pos pedalaman, namun promosi secara meluas amat diperlukan untuk menghidupkan kembali kawasan berkenaan.

Ad Banner

“Saya harap MOTAC bersama institusi pengajian tinggi boleh membantu usaha mempromosikan dan membangunkan inap desa di penempatan Orang Asli.

“Langkah ini dapat menambah pendapatan penduduk setempat apabila pelancong datang menginap serta menjalankan aktiviti luar seperti mandi sungai, mencari hasil hutan dan menikmati makanan tradisional masyarakat Orang Asli,” katanya.

Mohd Syahbuddin berkata selain Kampung Redip, antara inap desa tradisional di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas ialah inap desa Pulau Manis di Kampung Dakoh, Pos Balar dengan 13 unit penginapan disediakan.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan