Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Latihan Simulasi Gempa Bumi Berasaskan Komuniti Bermula Oktober – NADMA

03/09/2025 04:21 PM

SEGAMAT, 3 Sept (Bernama) -- Kerajaan akan memulakan siri latihan simulasi bencana berasaskan komuniti di seluruh negara mulai Oktober ini bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi insiden bencana, susulan beberapa siri gempa bumi yang melanda daerah ini baru-baru ini.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) Datuk Abdul Halim Hamzah berkata inisiatif itu dilaksanakan bersama Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah.

“Kerajaan mengambil tindakan serius susulan gempa bumi dan beberapa siri gegaran yang berlaku di Segamat.

Ad Banner

"Berdasarkan Sendai Framework, kita akan melaksanakan tabletop exercise (TTX) serta latihan simulasi di bawah program Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) yang melibatkan semua lapisan masyarakat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Pengurusan Risiko Bencana Gempa Bumi di Dewan Serbaguna Segamat, hari ini.

Beliau berkata latihan tersebut akan dijalankan mengikut kesesuaian kawasan di peringkat daerah, parlimen atau kampung, membabitkan komuniti setempat termasuk sekolah, pemimpin tempatan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Program ini pernah dilaksanakan di Sabah tahun lepas dan terbukti sangat berkesan. Beberapa detik selepas latihan itu, berlaku insiden sebenar di Sabah dan komuniti terbabit telah bersedia menghadapinya,” katanya.

Ad Banner

Beliau menambah bulan Oktober akan diisytiharkan sebagai Bulan Kesiapsiagaan Nasional, yang sebelum ini memberi tumpuan kepada banjir, kini turut diperluas kepada senario gempa bumi dan tanah runtuh.

“Simulasi ini akan melibatkan pelbagai senario agar semua pihak mengetahui tindakan yang perlu diambil apabila berlaku insiden bencana. Latihan ini juga akan dilaksanakan secara berterusan, bukan sahaja di Johor tetapi di seluruh negara bagi memastikan tahap kesiapsiagaan berada pada tahap terbaik,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan