Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

BSMM Anjur Mesyuarat Palang Merah Asia Tenggara, Forum Belia September Ini

03/09/2025 04:47 PM

KUALA LUMPUR, 3 Sept (Bernama) -- Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM) akan menganjurkan Mesyuarat Ketua-Ketua Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Asia Tenggara ke-22 serta Forum Belia Palang Merah Bulan Sabit Merah Asia Tenggara ke-4 dari 22 hingga 24 Sept ini di ibu negara.

Menurut kenyataan BSMM hari ini, acara tiga hari itu akan menghimpunkan pemimpin dan wakil belia daripada 11 Persatuan Kebangsaan serantau, bersama Persekutuan Antarabangsa Persatuan Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) serta Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC).

Bertemakan “Mengemudi Ketidakpastian, Memperkukuh Perpaduan demi Tindakan Kemanusiaan”, mesyuarat itu menekankan keperluan meningkatkan solidariti serta inovasi dalam menghadapi cabaran semasa seperti bencana akibat perubahan iklim, kecemasan kesihatan, isu migrasi dan diplomasi kemanusiaan.

Ad Banner

Antara yang dijangka hadir ialah Presiden, Pengerusi dan pegawai kanan daripada 11 persatuan kebangsaan termasuk Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam.

Menurut BSMM, Forum Belia Asia Tenggara ke-4 pula akan menjadi platform penting untuk pemimpin belia dan sukarelawan menyuarakan pandangan, meneguhkan komitmen terhadap nilai kemanusiaan serta meneroka penyelesaian inovatif demi memperkukuh daya tahan komuniti serantau.

Seiring itu, BSMM dengan kerjasama IFRC dan ICRC turut akan menganjurkan Forum Kemanusiaan Asia Tenggara sehari yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan daya tahan kebangsaan dan serantau melalui kerjasama pelbagai hala, pengukuhan undang-undang bencana, serta pematuhan terhadap Undang-Undang Kemanusiaan Antarabangsa di ASEAN.

Forum itu dijangka disertai pemimpin Palang Merah dan Bulan Sabit Merah Asia Tenggara, Sekretariat ASEAN, Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pertubuhan masyarakat sivil serta rakan kemanusiaan serantau.

“Melalui program ini, BSMM menegaskan komitmen memperkukuh solidariti dan tindakan kolektif bagi memupuk ketahanan komuniti di Asia Tenggara,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan