Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KDN Diminta Teliti Aspek Keselamatan Terutama Majlis Libat Raja-Raja

03/09/2025 04:54 PM

PUTRAJAYA, 3 Sept (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) diminta meneliti langkah bagi mempertingkatkan kawalan keselamatan pada sambutan keraian melibatkan raja-raja bagi mengelak kejadian cubaan menyerang Sultan Perak Sultan Nazrin Shah pada Ahad lepas, berulang.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata isu keselamatan itu dibangkitkan pada Mesyuarat Kabinet dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini.

“KDN telah diminta untuk meneliti aspek-aspek mempertingkatkan keselamatan terutama bagi raja-raja supaya tidak berlaku apa-apa keadaan yang tidak diingini,” katanya pada sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Ad Banner

Ahad lepas, polis menahan seorang wanita tempatan yang cuba menyerang Sultan Nazrin di atas pentas utama ketika sambutan rasmi Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di Ipoh.

Wanita yang mempunyai rekod rawatan psikiatri itu ditahan pengawal keselamatan bertugas selepas masuk melalui tepi pentas ketika lagu kebesaran negeri Perak berkumandang.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Sambutan Hari Malaysia akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Pulau Pinang (PICCA) pada 16 Sept.

Beliau berkata sambutan rasmi diadakan pada sebelah malam manakala sebelah siang akan diisi dengan Majlis Mengenang Negarawan yang menelusuri sejarah dan sumbangan Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Acara ini akan berlangsung di Bertam, maklumat lanjut akan disediakan kemudian. Program mengenang negarawan ini diusahakan oleh Kementerian Perpaduan Negara,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan