LANGKAWI, 3 Sept (Bernama) -- ASEAN perlu meningkatkan pelaburan dalam teknologi pengesanan awal dan sistem amaran untuk pengurusan jerebu rentas dan ancaman alam sekitar lain yang lebih berkesan, kata Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Johari berkata tiada ruang untuk leka, sebaliknya pembiayaan dan kerjasama lebih kukuh diperlukan bagi meningkatkan keupayaan teknologi rantau ini dalam mengenal pasti serta bertindak balas terhadap risiko alam sekitar sebelum ia menjadi lebih serius.
“Tidak boleh leka malah saya berpendapat banyak pelaburan diperlukan untuk teknologi, terutama bagi pengesanan awal dan sistem amaran supaya kita dapat menanganinya dengan pantas. Misalnya, kita ada sistem mengenal pasti titik panas (hotspot) sebelum ia menjadi lebih buruk.
“Jadi, ini adalah isu yang kita selalu bangkitkan. Tetapi sudah tentu, saya rasa ia juga soal pembiayaan. Ada negara negara yang mampu mengeluarkan pembiayaan dan ada negara yang merasakan mereka perlu berbelanja kepada perkara lain,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Persidangan Pihak-Pihak kepada Perjanjian ASEAN ke-20 mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (COP-20 AATHP) di sini hari ini.
Johari berkata semasa mesyuarat itu, Malaysia telah dilantik mengetuai dua jawatankuasa kecil untuk tempoh dua tahun akan datang, iaitu satu memfokus kepada pemuliharaan alam semula jadi serta biodiversiti dan satu lagi mengenai bahan kimia dan sisa.
“Filipina akan mengetuai jawatankuasa kecil alam sekitar pantai dan marin, Laos pula akan menerajui sumber air manakala Kemboja alam sekitar dan bandar lestari. Sementara, Singapura dan Thailand akan bersama-sama mengetuai jawatankuasa perubahan iklim,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapan pembukaan, Johari menggesa rantau ini untuk memperkukuh kerjasama dan mengekalkan iltizam politik bagi menangani secara berkesan cabaran berulang tersebut, yang terus menjejaskan ASEAN walaupun kemajuan telah dicapai sejak perjanjian itu dimeterai pada 2002.
Beliau menegaskan bahawa kepentingan dan keperluan mendesak terhadap usaha itu tidak boleh dipandang ringan, serta memberi amaran bahawa negara anggota tidak boleh leka walaupun dalam tahun yang jerebu tidak begitu teruk kerana kejadian kebakaran dan jerebu pada 1997, 2006, 2015 dan 2023 merupakan peringatan jelas tentang besarnya skala cabaran tersebut.
“Malaysia telah mengalami insiden jerebu rentas sempadan ini pada Julai 2025, yang menjadi peringatan bahawa walaupun ada kemajuan dicapai tugas kita masih belum selesai,” katanya.
Johari menambah usaha untuk mencapai ASEAN bebas jerebu menjelang 2030 adalah selaras dengan komitmen alam sekitar serantau dan matlamat iklim global di bawah Perjanjian Paris, terutamanya dalam aspek pengurangan pelepasan, pemeliharaan biodiversiti dan pembangunan lestari.
Beliau turut menyeru negara anggota ASEAN untuk memperkukuh kerjasama dengan rakan dialog, agensi pembangunan dan institusi antarabangsa dalam aspek seperti pencegahan, amaran awal, mitigasi dan pembinaan kapasiti.
Mesyuarat COP-21 seterusnya akan diadakan di Vietnam pada 2026 manakala Myanmar akan menjadi tuan rumah kepada Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN ke-19 (AMME19) dan COP-22 pada 2027.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial