Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

KPDN Sasar 20,000 Siri Program Jualan Rahmah Madani Tahun Ini

04/09/2025 11:57 AM

KUALA LUMPUR, 4 Sept (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan penganjuran 20,000 siri Program Jualan Rahmah MADANI (PJRM) tahun ini, sekali gus meningkatkan akses rakyat terhadap barangan keperluan pada harga lebih rendah.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata sasaran itu adalah peningkatan 190 peratus berbanding 2023 dan 61 peratus berbanding 2024, susulan pengumuman tambahan peruntukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lepas bagi meringankan beban kos sara hidup rakyat.

“Hingga 31 Ogos lepas, sebanyak 15,308 siri PJRM telah dilaksanakan di seluruh negara sejak 1 Jan lepas dan jumlah ini akan terus dipertingkatkan melibatkan 222 kawasan Parlimen, 600 Dewan Undangan Negeri (DUN) serta 40 zon di Wilayah Persekutuan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Ad Banner

Beliau berkata penganjuran PJRM dilakukan dengan kerjasama 1,234 rakan strategik termasuk pasar raya besar, pasar raya pemborong, kedai runcit, koperasi, vendor logistik, pertubuhan serta 48 pasar awam, dengan penawaran barangan keperluan asas pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding pasaran.

Sementara itu, ketika menjawab soalan Senator Datuk Anna Bell Suzieana Perian, Armizan memaklumkan bahawa  KPDN telah mengambil langkah-langkah awal susulan pengumuman tambahan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sebanyak RM100 kepada golongan dewasa melibatkan 22 juta rakyat Malaysia, dengan anggaran perbelanjaan melebihi RM2 bilion.

“Bermula 31 Ogos hingga 2 Sept lepas, sebanyak 8,438 premis diperiksa Bahagian Penguatkuasaan KPDN. Kita juga menggerakkan pegawai pemantau harga (PPH) yang memeriksa 316 item di 1,160 premis setiap hari bagi memastikan harga kekal terkawal,” katanya.

Beliau berkata semua barangan dalam senarai SARA turut dimasukkan ke dalam pemantauan PPH, manakala lima aduan rasmi telah diterima kementerian setakat ini, dengan hanya dua melibatkan secara langsung program SARA.

“Setiap aduan rasmi akan disusuli tindakan dalam tempoh 24 jam bagi memastikan bekalan dan harga barangan terus dikawal. Kita menyeru orang ramai untuk menyalurkan aduan melalui platform rasmi KPDN bagi membolehkan tindakan segera diambil,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan