Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

RUU Enakmen Kawalan Sekolah Agama Islam Perak Dibentang Di Sidang DUN 9 Hingga 11 Sept - Speaker

04/09/2025 02:14 PM

IPOH, 4 Sept (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam (Perak) 2025 serta RUU Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) (Pindaan) 2025 akan dibentangkan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadual berlangsung 9 hingga 11 Sept ini.

Speaker DUN Perak Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid berkata kedua-dua RUU berkenaan akan dibentangkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad.

“Selain itu, persidangan turut memperuntukkan sesi soal jawab lisan selama 90 minit,” katanya pada sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Ad Banner

Beliau berkata aspek keselamatan juga diberi penekanan sepanjang persidangan, dengan setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), pegawai bertugas, pengamal media serta pemerhati diwajibkan mempamerkan pas rasmi yang disediakan.

“Pemeriksaan keselamatan di pintu masuk akan dijalankan oleh pegawai keselamatan bertugas, manakala peraturan pakaian rasmi wajib dipatuhi semua yang memasuki Dewan,” katanya.

Menurut Mohammad Zahir, mana-mana pihak yang berminat mengikuti persidangan secara langsung boleh memohon melalui Portal Dewan Negeri Perak atau menghantar permohonan ke Bahagian Dewan Negeri dan Majlis Mesyuarat Kerajaan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak.

Ad Banner

Beliau turut memaklumkan bahawa Ketua Pembangkang Perak Razman Zakaria masih tidak dibenarkan menghadiri persidangan tersebut berikutan tempoh penggantungan enam bulan terhadapnya masih belum tamat.

“Beliau bukan sahaja tidak boleh hadir ke dalam Dewan, malah urusan berkaitan dewan termasuk jawatankuasa pilihan khas turut tertakluk kepada penggantungan itu.

“Namun, sebagai wakil rakyat, beliau masih boleh melaksanakan tanggungjawab di kawasan masing-masing,” katanya.

Pada 16 April lalu, Razman yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Perak digantung daripada menghadiri sidang DUN selama enam bulan selepas usul berhubung perkara itu diluluskan.

Tindakan itu diambil selepas beliau dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN pada 4 Disember tahun lepas berhubung kenyataan palsu mengenai insiden pengibaran bendera negara China di Teluk Intan pada 2 Dis 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan