Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Belanjawan 2026: Cadangan TVET Untuk OKU Antara Keutamaan - Ahmad Zahid

04/09/2025 03:38 PM

PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) khusus untuk golongan orang kurang upaya (OKU) serta penglibatan pelajar sekolah dalam program TVET merupakan antara cadangan untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2026, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata cadangan itu akan dibawa ke Jawatankuasa Majlis TVET Negara sebelum dikemukakan kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan sebagai salah satu agenda penting dalam Belanjawan 2026 yang dijadual dibentangkan pada 10 Okt ini.

“Sesuatu yang agak berlainan kali ini ialah cadangan supaya TVET diwujudkan khusus untuk golongan OKU. Saya akan membawa perkara ini ke Majlis TVET dan seterusnya kepada Kementerian Kewangan untuk dipertimbangkan sebagai agenda dalam ucapan Belanjawan pada 10 Okt nanti.

Ad Banner

“Yang penting, masyarakat OKU dan golongan istimewa mesti diberikan peluang yang sama rata dengan kursus selaras dengan minat mereka serta menepati kehendak pasaran,” katanya kepada media selepas mempengerusikan Sesi Dialog Belanjawan 2026 KKDW bersama pihak berkepentingan di sini hari ini.

Selain itu, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Majlis TVET Negara berkata terdapat cadangan supaya pelajar sekolah pondok turut diberikan peluang menyertai program TVET, seperti yang dilaksanakan untuk pelajar maahad tahfiz.

“Perkara ini akan diteliti bersama sekolah agama rakyat di peringkat negeri seperti yang dicadangkan,” katanya.

Ad Banner

Terdahulu, sesi dialog berkenaan berlangsung hampir dua jam dengan penyertaan 1,050 peserta, melibatkan 300 peserta hadir secara fizikal manakala 750 lagi menyertai secara dalam talian dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak.

Sesi itu bertujuan mengumpul pandangan serta cadangan daripada pelbagai pihak bagi memastikan penyediaan Belanjawan 2026 dilaksanakan secara lebih inklusif dan menyeluruh.

Ia juga selaras dengan keputusan kerajaan pada 1 Ogos lepas yang mewajibkan semua kementerian mengadakan sesi libat urus belanjawan bersama pihak berkepentingan masing-masing.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan