Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Bantuan MITRA: Tadika Swasta Kenakan Yuran Bulanan Tambahan Akan Disenarai Hitam

04/09/2025 03:14 PM

PUTRAJAYA, 4 Sept (Bernama) -- Tadika swasta yang menerima bantuan di bawah Program Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta ‘Anak Pintar, Negara Gemilang’ tetapi didapati mengenakan yuran bulanan tambahan, akan disenarai hitam dan diwajibkan memulangkan dana berkenaan kepada Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA).

Pengerusi MITRA P Prabakaran berkata pemantauan akan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan amalan seumpama itu tidak berlaku hingga membebankan ibu bapa daripada golongan B40.

“Kita akan pantau dan macam tadi saya dah beritahu kepada pihak tadika jangan kutip yuran  (bulanan) tambahan.

Ad Banner

“Kalau ada aduan, kami (MITRA) akan ambil tindakan. Tadika akan disenara hitam dan kena pulangkan semula dana yang telah diberikan kepada MITRA,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemeteraian Perjanjian Program Bantuan Subsidi Pendidikan Awal Tadika Swasta ‘Anak Pintar, Negara Gemilang’ 2025 di sini hari ini.

Terdahulu dalam ucapan, Ahli Parlimen Batu itu berkata pemantauan audit mendapati segelintir tadika swasta penerima bantuan mengutip yuran bulanan tambahan daripada ibu bapa sepanjang tempoh persekolahan walaupun subsidi yuran tadika dibiayai MITRA.

Mengenai program yang merupakan inisiatif kesinambungan sejak 2014, beliau berkata untuk tahun ini MITRA telah meluluskan permohonan bantuan kepada 173 tadika swasta melibatkan 4,025 kanak-kanak yang menerima subsidi dengan kos peruntukan sebanyak RM7.75 juta.

Ad Banner

“Program subsidi ini merupakan satu usaha kerajaan dalam menyediakan kesamarataan akses pendidikan untuk kanak-kanak daripada keluarga B40 selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 bagi memastikan kesejahteraan serta kebajikan mereka terjamin pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata pelaksanaan program itu akan membantu kerajaan mencapai tiga objektif iaitu meningkatkan kadar enrolmen kanak-kanak India dari keluarga B40, meringankan beban kewangan persekolahan yang ditanggung isi rumah B40 dan mengurangkan jurang akses pendidikan awal kanak-kanak dalam kalangan golongan rentan.

“Saya harap semua kanak-kanak yang menerima bantuan subsidi ini dapat meneruskan alam persekolahan rendah di SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil),” katanya.

Prabakaran turut menyeru pengusaha tadika swasta untuk menyediakan kualiti pengajaran dan persekitaran yang kondusif kepada kanak-kanak serta menu makanan seimbang dan berkhasiat selaras dengan Garis Panduan Penubuhan, Pendaftaran dan Pengoperasian Tadika Swasta Kementerian Pendidikan.

Pada majlis sama, Prabakaran turut mengedarkan Kad Laporan 2024 yang memaparkan aktiviti MITRA menggunakan peruntukan kerajaan sepanjang tahun lepas.

“Ada juga softcopy (kad laporan) yang saya akan muat naik di media sosial. Ini tak pernah dilakukan sebelum ini,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan