LANGKAWI, 4 Sept (Bernama) -- Isu perubahan iklim, kehilangan biodiversiti dan pencemaran menjadi fokus utama Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN ke-18 (AMME-18) yang berlangsung tiga hari di sini, bagi memastikan usaha pembangunan mampan dicapai sejajar dengan komitmen antarabangsa.
Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata perubahan iklim adalah cabaran global yang memerlukan tindakan bersama dan Malaysia tidak terkecuali daripada memainkan peranan penting.
“Perubahan iklim yang berlaku hari ini, sama ada mahu atau tidak, kita perlu turut serta memainkan peranan seperti yang dipersetujui menerusi komitmen bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Alam Sekitar ASEAN Campur Tiga (APT-EMM) di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kehilangan biodiversiti menjadi kebimbangan besar, khususnya akibat pembalakan dan penebangan hutan yang menjejaskan khazanah hutan negara.
“Apabila berlaku penebangan thutan secara berleluasa, biodiversiti turut terjejas dan akhirnya hilang,” katanya.
Mengenai pencemaran, Johari berkata penggunaan plastik perlu dikawal kerana memberi kesan jangka panjang terhadap alam sekitar.
“Plastik sukar diuraikan. Sebab itu saya tekankan keperluan mencari penyelesaian terhadap isu plastik,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan pendirian kerajaan untuk menghentikan kemasukan plastik dan sisa dari luar negara atas alasan ekonomi kitaran.
“Kita tidak boleh menerima sisa plastik dari luar dengan alasan kitar semula, kemudian lebihan yang tidak digunakan dibuang di tapak pelupusan. Saya sudah arahkan supaya ia dihentikan,” katanya.
Menurut beliau, isu itu turut dipersetujui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menegaskan Malaysia tidak mahu menjadi pusat lambakan sisa plastik dunia.
AMME-18 yang bermula Selasa lalu menghimpunkan menteri alam sekitar ASEAN serta pegawai kanan bagi membincangkan kerjasama serantau ke arah kelestarian dan pengurusan alam sekitar yang inklusif.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial