SERDANG, 5 Sept (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar mengingatkan masyarakat supaya menghentikan perbalahan sesama sendiri dengan meniup sentimen kebencian atas nama agama sehingga menimbulkan perpecahan dalam keluarga dan masyarakat.
Mohd Na’im berkata tindakan berbalas di media sosial, menyebarkan berita fitnah dan mengapi-apikan isu hanya akan merugikan semua pihak, dan menyifatkan perbuatan itu sebagai “yang kalah jadi abu, yang menang jadi arang”.
“Marilah bersama-sama kita berdoa agar Malaysia terus diberikan keselamatan dan kerahmatan oleh Allah SWT, serta menjadikan umat Nabi Muhammad SAW yang mendapat syafaat daripada Rasulullah SAW.
“...Dan, dengan semangat yang sama kita terus bersatu hati mendoakan umat di Palestin diberikan kesejahteraan dan keselamatan,” katanya dalam ucapan menjunjung kasih sempena Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2025/1447H, di sini hari ini.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah berkenan berangkat ke majlis memperingati kelahiran Rasulullah SAW yang bertemakan "Membangun Ummah MADANI" itu.
Turut hadir Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Menyentuh sambutan Hari Kebangsaan ke-68 baru-baru ini, beliau menyeru rakyat negara ini untuk memperkukuh penguasaan ilmu dan teknologi, merapatkan saf perpaduan serta menjadi pendamai yang menyuburkan keharmonian dalam usaha membangunkan gagasan Malaysia MADANI.
Mohd Na’im berkata kerjasama erat bersama pihak berkuasa agama Islam negeri-negeri akan terus diperkasakan supaya program penghayatan Islam benar-benar berkesan dalam menangani isu sosial dan kemasyarakatan.
Menyentuh tema sambutan Maulidur Rasul tahun ini, Mohd Na’im berkata “Membangun Ummah MADANI” diangkat sebagai tema sebagai terjemahan kesungguhan usaha Kerajaan MADANI untuk kesejahteraan negara.
Beliau berkata majlis sambutan yang menjadi acara rasmi negara setiap tahun itu signifikan kerana menyeru umat Islam meneladani risalah dan keperibadian Rasulullah SAW yang membawa sinar ilmu, menegakkan keadilan, menolak kezaliman serta menjadi rahmat untuk seluruh alam melalui panduan al-Quran dan as-Sunnah.
“Walau dicerca, dihina hatta dipukul di wajahnya, Rasulullah SAW tidak pernah membalas dengan kata, sebaliknya berdoa ‘Ya Allah, ampunilah kaumku, kerana mereka tidak mengetahui’. Sungguh, ia adalah kemuncak keluhuran peribadi,” katanya.
Terdahulu, Mohd Na’im melepaskan dan mengetuai perarakan kontinjen sambutan Maulidur Rasul Peringkat Kebangsaan 2025/1447H yang diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), di sini.
Seramai 6,104 peserta dengan 119 kontinjen menyertai perarakan sambutan sejauh 1.1 kilometer bermula dari kawasan parkir utama menuju ke Dewan A MAEPS.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial