BALING, 5 Sept (Bernama) -- Program MADANI Rakyat (PMR) Kedah yang sedang berlangsung di Kompleks Sukan Majlis Daerah Baling di sini, mencatat kehadiran seramai 29,560 pengunjung pada hari pertama semalam.
Menurut Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU), sambutan tersebut amat menggalakkan memandangkan sebelum ini pihaknya menyasarkan kehadiran kira-kira 25,000 pengunjung sepanjang PMR yang bermula 4 Sept hingga esok.
Bertemakan Rakyat Prihatin, Negara Aman, Masa Depan Terjamin, PMR pada hari kedua, terus diserbu orang ramai seawal 9 pagi dan suasana tetap meriah walaupun keadaan cuaca agak mendung pada hari ini.
Antara tarikan yang menanti orang ramai termasuklah reruai perkhidmatan kerajaan, Jualan MADANI dengan harga berpatutan, diskaun saman trafik polis, pemeriksaan dan perkhidmatan kesihatan.
Selain itu, bagi yang sedang mencari kerja, mereka berpeluang mendapat tawaran pekerjaan segera pada sesi temu duga yang dilaksanakan oleh pelbagai majikan sepanjang PMR Kedah berlangsung.
Reruai yang menawarkan pertukaran topi keledar baharu, minyak enjin motosikal, gunting rambut serta pengagihan biji benih dan anak pokok secara percuma terus mendapat tumpuan pengunjung.
Acara kemuncak PMR Kedah ialah majlis penutupan esok yang dijadual akan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial