Oleh V. Sankara
KUALA LUMPUR, 5 Sept (Bernama) -- Persatuan Perubatan Gaya Hidup Malaysia (MSLM) mahu Malaysia menerajui usaha menjadikan Perubatan Gaya Hidup sebagai strategi teras serantau di bawah agenda kerjasama kesihatan ASEAN bagi menangani krisis penyakit tidak berjangkit (NCD) yang semakin meningkat.
Presiden Pengasas MSLM Dr Siva Poobalasingam berkata Malaysia berada pada kedudukan unik untuk menerajui gerakan ini selaku Pengerusi ASEAN dan juga sebagai penggerak global yang diiktiraf dalam bidang Perubatan Gaya Hidup.
“Sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat Lifestyle Medicine Global Alliance, saya percaya Malaysia perlu memainkan peranan kepimpinan dalam mengintegrasikan Perubatan Gaya Hidup di seluruh ASEAN khususnya apabila NCD menyumbang kira-kira 62 peratus daripada jumlah kematian di rantau ini,” katanya kepada Bernama.
Dr Siva berkata NCD seperti diabetes, penyakit kardiovaskular, kanser dan obesiti mula memberikan beban besar kepada sistem kesihatan di rantau Asia Tenggara.
Di Malaysia, NCD dikaitkan dengan lebih 73 peratus kematian dan dianggarkan menelan kos sebanyak RM64.2 bilion setahun dalam aspek penjagaan kesihatan serta kehilangan produktiviti.
“Pengambilan gula dan lemak berlebihan, gaya hidup sedentari serta tabiat merokok adalah amalan lazim di negara ASEAN. Perubatan Gaya Hidup menawarkan penyelesaian berkesan dari segi kos dan boleh disesuaikan dengan budaya, sekali gus menangani punca utama penyakit ini,” katanya.
Perubatan Gaya Hidup ialah disiplin perubatan berasaskan bukti yang menumpukan kepada pencegahan pengurusan dan berpotensi memulihkan penyakit kronik dengan menggantikan tabiat tidak sihat kepada tabiat positif melalui enam tonggak utama: diet berasaskan tumbuhan, aktiviti fizikal berkala, tidur berkualiti, pengurusan tekanan, penghindaran bahan berbahaya serta hubungan sosial yang positif.
Dr Siva berkata Malaysia telah mendapat pengiktirafan global atas komitmennya terhadap Perubatan Gaya Hidup sambil merujuk kepada pembentangan beliau mengenai model Lifestyle Medicine For Remission of Diabetes pada Sidang Kemuncak Kesihatan Integratif C20 2023 di Faridabad, India, iaitu forum rasmi masyarakat awam di bawah G20.
“Model kami yang mengintegrasikan strategi intervensi Perubatan Gaya Hidup secara mampan adalah antara segelintir dari rantau ini yang diiktiraf C20. Ini membuka peluang untuk Malaysia menerajui usaha membangunkan kerangka serantau Perubatan Gaya Hidup di bawah ASEAN,” katanya.
Beliau turut berkongsi dapatan daripada inisiatif rintis Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) - projek Lifestyle Medicine for Remission of Diabetes (LMRD), yang telah dilaksanakan di sebuah fasiliti penjagaan primer awam di Negeri Sembilan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM).
“Projek rintis WHO-KKM ini mungkin yang pertama di dunia. Kami bukan sahaja melaksanakan intervensi malah turut membangunkan kurikulum, melatih petugas kesihatan, mengumpul data hasil serta merangka hala tuju dasar,” katanya yang turut bertindak sebagai Perunding Pakar Perubatan Gaya Hidup lantikan WHO bagi projek WHO-KKM Lifestyle Medicine For Remission Of Diabetes.
Beliau berkata pihaknya turut mencadangkan Pusat Perubatan Gaya Hidup ASEAN di Malaysia, yang bertujuan memperkukuh kapasiti serantau, menyokong pembangunan dasar dan mengarusperdanakan Perubatan Gaya Hidup dalam strategi kesihatan negara.
Dr Siva turut dijemput mewakili Malaysia ke Forum Nasional mengenai Perubatan Gaya Hidup di Senat Romania (Istana Parlimen) di Bucharest pada Mei tahun ini, dan beliau telah membentangkan mengenai pelaksanaan Perubatan gaya Hidup dalam penjagaan kesihatan primer awam.
Bagi memperkukuh bidang Perubatan Gaya Hidup, Persidangan Perubatan Gaya Hidup Malaysia kelima akan berlangsung pada 27 hingga 29 Okt ini di Kuala Lumpur.
Bertemakan Reimagining Mental Health with Lifestyle Medicine, persidangan itu akan menghimpunkan pemikir ASEAN dan antarabangsa untuk meneroka peranan Perubatan Gaya Hidup dalam meningkatkan kesejahteraan mental.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial