Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

SPRM Melaka Syor Penambahbaikan Tatakelola MAIM

05/09/2025 12:37 PM

MELAKA, 5 Sept (Bernama) – Sebanyak tiga cadangan penambahbaikan tatakelola telah dibentangkan oleh Unit Penyiasatan Tatakelola (UPT) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Melaka kepada Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) berhubung sistem dan prosedur Garis Panduan Mesyuarat Jawatankuasa Sumbangan Pembaikan dan Pembinaan Masjid dan Madrasah (JKPSM) di Melaka.

 

Antara cadangan itu ialah menambahbaik Buku Garis Panduan JKPSM khususnya berkaitan pelaksanaan dan pelaporan kerja serta kerja lain yang perlu diseragamkan bagi penerima sumbangan tersebut.

Ad Banner

 

Cadangan kedua ialah kaedah pelaporan kewangan penerima sumbangan termasuk menyeragamkan format dan medium pelaporan serta laporan kewangan penerima sumbangan belum mencukupi agar dana digunakan secara optimum dan mengelakkan berlakunya ketirisan.

 

Ad Banner

Cadangan ketiga ialah pengisian jawatan di unit kejuruteraan kerana keanggotaan sedia ada tidak mencukupi disebabkan permohonan sumbangan pembaikan dan pembinaan masjid serta madrasah semakin banyak.

 

Pengarah SPRM Melaka, Datuk Adi Supian Shafie berkata, cadangan ini bertujuan untuk mengamalkan konsep ketelusan dan mampu menutup ruang serta peluang berlakunya jenayah rasuah.

 

“Cadangan penambahbaikan oleh SPRM Melaka ini telah disambut baik dan dipersetujui oleh MAIM selain ia mampu mengelakkan berlakunya ketirisan dalam sumbangan dana yang diberikan,” katanya pada sesi pembentangan dan menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola oleh Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad disaksikan oleh Adi Supian di pejabat MAIM di sini, kelmarin. 

 

Cadangan itu berdasarkan maklumat diterima oleh SPRM Melaka pada 28 Januari 2025 yang mendapati wujud keperluan penambaikan sistem dan prosedur bagi pelaksanaan kerja baik pulih Madrasah Al-Ikhlas, Taman Telok Mas Melaka daripada wang peruntukan diberikan oleh MAIM sebanyak RM250,000 yang mana tidak dilaksanakan dengan sempurna. 

 

Justeru, SPRM melihat terdapat prosedur longgar berkaitan Buku Garis Panduan JKPSM yang mana perkara ini boleh mendedahkan kepada ruang serta peluang berlakunya penyelewengan dan manipulasi laporan bagi peruntukan sumbangan ini.

 

Turut hadir Pegawai Unit Integriti Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, Mahmud Ahmad dan Pegawai UPT SPRM Melaka, Muhammad Aiman  Lingen Abdullah.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan